Jumaat, 12 November 2021

Empat kluster baharu dikenal pasti

 Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Noor Hisham.

PUTRAJAYA – Empat lagi kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan tiga kluster tempat kerja serta satu kluster pendidikan lain, direkodkan di Selangor, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.

Kesemua kluster tersebut antara penyumbang kepada 6,323 kes harian negara manakala, terdapat 25 kes import dengan keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 2,528,821 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 97 kes (1.5 peratus) kategori tiga, empat dan lima serta 6,226 kes (98.5 peratus) kategori satu dan dua.

“Sebanyak 538 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 274 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat 5,337 kes sembuh dengan jumlah kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 2,435,459 kes,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.Sementara itu, katanya, Sebanyak 48 kes baharu kesemuanya melibatkan Variant of Concern (VOC) iaitu varian Delta(B.1.617.2) dikesan menerusi kajian berterusan dijalankan oleh Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE–UiTM).

Beliau berkata, kes baharu tersebut dilaporkan di tiga negeri iaitu Pulau Pinang (34 kes), Pahang (12 kes) dan Perlis (dua kes).

Menurut Noor Hisham, ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 3,830 kes.

“Daripada jumlah tersebut, 3,810 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 3,570 kes varian Delta, 226 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

“Bagi kes VOI pula, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya. – K!ONLINE

Tiada ulasan: