Khamis, 11 November 2021

BN Perak bantu 2 DUN di Melaka

 Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bendera parti menghiasi jalan raya di Sungai Udang, Melaka. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Bendera parti menghiasi jalan raya di Sungai Udang, Melaka. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD

KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) Perak membantu jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Sungai Udang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kira-kira 100 petugas sudah berada di Melaka sejak seminggu lalu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani menolak kebarangkalian PRN Perak, sekiranya PRN Melaka berlangsung dengan lancar atau tanpa peningkatan drastik jangkitan COVID-19.

Katanya, tiada sebab untuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan negeri berpaling tadah.

"(Penggal) kita masih ada tempoh sehingga Mei 2023. Walaupun (jumlah sokongan) tipis, untuk apa saya mesti (mohon perkenan untuk) bubarkan (DUN negeri)?

"Tidak akan berlaku lompatan (ADUN) sebegitu kerana tiada sebab. Jadi, saya tak fikir (DUN) Perak akan bubar kecuali Parlimen dibubarkan yang akan menyaksikan pembubaran DUN serentak seluruh negara. Kalau tidak, masih ada tempoh lagi," katanya.

DUN Melaka terbubar pada 4 Oktober lalu, selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mahu menyelesaikan kemelut politik.

Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan empat ADUN kerajaan menarik sokongan terhadapnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian.

Tiada ulasan: