Isnin, 22 November 2021

Bicara Ahmad Zahid ditangguhkan Rabu, peguam sakit gout

Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga Rabu penghujahan kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa melakukan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram kerana salah seorang peguam yang mewakili beliau diserang penyakit gout.

Peguam Hamidi Mohd. Noh memohon penangguhan kerana tidak dapat menahan kesakitan serta tidak mampu berdiri lama ketika menyampaikan hujah pembelaan pada prosiding yang berlangsung selama kira-kira 30 minit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan.

Terdahulu, Hamidi sempat berhujah pada prosiding yang bermula pada pukul 11 pagi sebelum meminta perbicaraan ditangguhkan seketika kerana kesakitan.

Ketika sesi penghujahan bersambung 10 minit kemudian, Hamidi memohon penangguhan kerana tidak mampu menahan kesakitan walaupun Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan beliau duduk ketika berhujah.

Bagaimanapun, peguam tersebut memohon prosiding tidak diteruskan dan disambung pada tarikh berikutnya kerana pada peringkat itu beliau sudah tidak mampu menyambung penghujahan.

Beliau turut memaklumkan mempunyai temu janji doktor pada pukul 1.30 petang.

Sebelum itu, Hamidi menghujahkan, cek-cek Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dengan pertuduhan, bukan di bawah penguasaan Ahmad Zahid, sebaliknya di bawah penguasaan bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan.

Hujah beliau, Mazlina bukan sahaja cuai ketika menguruskan pengeluaran cek-cek yayasan itu dengan menggunakan cop tanda tangan Ahmad Zahid, malah tidak mempunyai pengetahuan berhubung penggunaan kad kredit.

Hamidi berhujah, cop tanda tangan tidak sewajarnya digunakan untuk pengeluaran cek sebaliknya digunakan untuk urusan tidak rasmi seperti menandatangani kad hari raya yang melibatkan jumlah yang banyak.

Selain itu, beliau menghujahkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap 12 pertuduhan pecah amanah yang dipertuduhkan ke atas Ahmad Zahid.

Hujah Hamidi, bekas Timbalan Perdana Menteri tidak melakukan pecah amanah apabila memindahkan dana Yayasan Akalbudi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co. kerana wang tersebut masih di bawah kawalan yayasan tersebut yang mana beliau merupakan pengasasnya.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan tersalah arah dari segi undang-undang dengan menyatakan wang milik yayasan itu dipindahkan kepada pihak lain.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, 68, yang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: