Rabu, 24 November 2021

Akademi al-Quran mula ambil pelajar Januari depan

 zuhayati

Dibuka kepada pelajar berusia 12 tahun dan dipilih berdasarkan kriteria tertentu

ISKANDAR PUTERI – Akademi Al-Quran yang dibangunkan di Kota Iskandar, dengan peruntukan RM300,000, akan memulakan pengambilan pelajar bermula Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, akademi itu akan dibuka kepada pelajar berusia 12 tahun dan akan dipilih berdasarkan kriteria-kriteria tertentu oleh sebuah jawatankuasa khas.

Beliau berkata, akademi tersebut diwujudkan bagi memberi penekanan khusus kepada pemahaman dan membaca al-Quran dengan lebih baik menerusi tenaga pengajar yang terdiri daripada guru terlatih termasuk pemenang qari dan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa daripada Johor, selari dengan hasrat kerajaan negeri melahirkan generasi pelapis celik Al-Quran.

“Buat masa ini, kita anggarkan 40 pelajar sahaja untuk permulaan. Tiada sebarang yuran dikenakan kepada pelajar. Tempoh pengajian adalah antara setahun hingga tiga tahun,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, hari ini.

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, dengan adanya akademi Al-Quran, akan ada lebih ramai generasi muda mendalami kitab suci itu sekali gus boleh mewakili negeri pada Tilawah al-Quran akan datang.

Dalam pada itu, Tosrin memaklumkan Johor dipilih menjadi tuan rumah Tilawah al-Quran dan Hafazan peringkat kebangsaan pada Jun tahun hadapan.

“Setakat ini, kita masih menunggu perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung lokasi tilawah akan diadakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri ini dilakukan tanpa penjarakan fizikal terutama selepas Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

Tosrin berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor minggu depan bagi melengkapkan kertas cadangan itu, sebelum dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim bagi mendapatkan perkenan.

“Dua cadangan akan dimasukkan dalam kertas cadangan itu iaitu pertama, solat jemaah dengan kapasiti penuh masjid/surau tanpa penjarakan fizikal dan cadangan kedua, solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan fizikal, mungkin lebih dekat dari penjarakan sekarang.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada status COVID-19 terkini serta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum kedua cadangan itu dipersembahkan kepada Tuanku (Sultan Ibrahim),” katanya sambil menambah tatacara SOP baharu solat berjemaah itu diharapkan dapat diguna pakai menjelang awal Januari depan. – Bernama

Tiada ulasan: