Isnin, 1 November 2021

‘Ada perkembangan sehari dua ini mengejutkan kita’

HARAKAH DAILY

AYER KEROH: Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor meminta semua jentera PAS agar dapat bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi apa juga kemungkinan atau perubahan yang mungkin berlaku.

“Ada perkembangan-perkembangan yang akan berlaku sehari dua ini yang akan mengejutkan kita semua. Atau pun kurang mengejutkan, tetapi di luar jangka.

“Insya-Allah tuan-tuan, kita bersedialah. Kita menghadapi apa sahaja kemungkinan berdasarkan pergerakan politik semasa,” ujar beliau semasa melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) PAS Melaka secara dalam talian malam tadi. 

Turut berucap ialah Pengarah Jawatankuasa Operasi PRN Melaka yang juga Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Wan Nik Wan Yusoff dan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

Menurutnya, memang perubahan-perubahan yang mungkin berlaku akan menimbulkan persoalan dalam kalangan jentera sendiri, namun ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Tambah beliau, perkara itu berlaku kerana wujudnya perkembangan baharu dalam politik negara yang menyebabkan berlaku perubahan dalam keputusan parti.

“Sebagai jentera marilah kita sama-sama meningkatkan keazaman kita sebagai Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Melaka untuk kita menawan semua kerusi yang diamanahkan kepada PAS dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada tahun ini, insya-Allah,” ujar beliau lagi.

Tambahnya lagi jentera PAS dari seluruh negara sudah pun digerakkan untuk membantu PAS Melaka dalam berhadapan dengan PRN ini.

“Tuan-tuan bersedialah untuk menerima mereka sebagai jentera bantu dalam bidang tugas yang akan ditentukan oleh jentera bantu.

“Tetapi tugasan utama sebagai jentera PRN negeri Melaka ini adalah tergalas di bahu tuan-tuan,” ujar beliau lagi.

Terdahulu berlangsung gimik pelancaran dengan penyerahan bendera PAS kepada wakil dari kawasan-kawasan dalam negeri Melaka.

Program pelancaran itu yang dijalankan secara dalam talian melibatkan dua lokasi iaitu di Studio Jabatan Penerangan PAS Melaka di Ayer Keroh dan Putrajaya dipancarkan melalui laman Facebook PAS Melaka.

Sementara pimpinan dan jentera PAS bagi PRN menonton siaran itu dari rumah masing-masing sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang baru dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang sebarang perhimpunan. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: