MALAYSIA POST
SEMBILAN Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat di struktur semula membabitkan komposisi Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak pembangkang dan kerajaan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, berkata penstrukturan semula itu susulan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, sebagai memenuhi salah satu daripada perkara yang dipersetujui iaitu keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas, keahlian dalam semua jawatankuasa pilihan khas telah ditambah daripada tujuh ahli kepada sembilan.
“Lima adalah daripada kerajaan dan empat merupakan Ahli Parlimen pembangkang di setiap Jawatankuasa Pilihan Khas.
“Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Plihan Khas tersebut juga dibahagi di antara pihak kerajaan dan pembangkang kepada nisbah 5:4,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut memaklumkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa telah dipersetujui untuk diwujudkan, menjadikan jumlah keseluruhan Jawatankuasa Pilihan Khas kini adalah 10.
“Jawatankuasa itu kini dalam proses pemilihan ahli-ahlinya.
“Semoga dengan kewujudan struktur baharu Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan efektif,” katanya.
Senarai Ahli Parlimen Kerajaan yang dilantik sebagai Pengerusi ialah Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort); Datuk Seri Hasan Arifin (Barisan Nasional-Rompin); Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas – Kuala Krai); Yusuf Abd Wahab (GPS – Tanjong Manis) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan