HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM)
mengucapkan tahniah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di atas
pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Presidennya,
Dato’ Sirajuddin Salleh berkata, pihaknya turut berharap sokongan 114
ahli Parlimen kepada Ismail Sabri akan teguh untuk terus menzahirkan
sokongan majoriti terhadap beliau dalam Undi Percaya di Dewan Rakyat, 7
September ini.
Dalam masa sama, QIAM turut merayu kepada 220 ahli Parlimen yang akan bersidang di Dewan Rakyat dalam penentuan keabsahan Undi Percaya kepada Perdana Menteri 7 September ini bersatu hati dan berjiwa besar menunjukkan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, QIAM juga menuntut kesemua ahli-ahli Parlimen itu bersepakat bersama Perdana Menteri dalam usaha melawan pandemik Covid-19, menyelesaikan masalah kehidupan dan keselamatan rakyat, serta pemulihan ekonomi negara.
“Kepada Perdana Menteri kita yang baharu, harapan QIAM ialah supaya Yang Amat Berhormat memastikan kesinambungan dasar-dasar yang baik yang ditinggalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Selain itu, QIAM turut menyokong saranan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, agar kerajaan yang baharu dapat meneruskan prinsip mempertahankan kerajaan yang berintegriti, menjaga keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang serta menjunjung sistem Raja Berperlembagaan.
“QIAM menjangkakan prestasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-9 akan dipantau dan dinilai oleh rakyat.
“Prestasi dan kejayaan kerajaan ini akan menjadi penentu sokongan rakyat kepada kerajaan Pemerintahan Dominan Pribumi (PDP) ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. – HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment