Monday, August 30, 2021

Ujian pertama PM di Dewan Rakyat, dapat sekurang-kurangnya 111 majoriti


Sekurang-kurangnya 111 majoriti diperlukan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengabsahkan kedudukannya di Dewan Rakyat dalam undi percaya nanti, kata peguam dan penganalisis politik.

Jumlah 111 tersebut adalah majoriti mudah yang diperlukannya, jika kurang daripada jumlah tersebut ia bermakna Ismail Sabri gagal memperoleh majoriti mudah.

“Andainya terdapat lima Ahli Parlimen (MP) kerajaan tidak hadir disebabkan masalah tertentu seperti Covid-19, ini bermakna blok kerajaan hanya mempunyai 109 sokongan sekali gus gagal memperoleh majoriti mudah atau sekurang-kurangnya 111 anggota Dewan Rakyat,” kata peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla dipetik laporan Utusan Malaysia.

Jika gagal dalam undian tersebut, Haniff Khatri berkata berkemungkinan Ismail Sabri perlu mengambil langkah sama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatannya.

“Jadi berdasarkan Perkara 43 (4), Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Pandangan sama turut dilontar pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yang berkata Ismail Sabri perlu memperoleh 111 majoriti dan menjelaskan undi percaya adalah seolah-olah sama seperti undi tidak percaya.

“Jadi Perdana Menteri kena berjaya dalam usul percaya sewaktu Sidang Parlimen pada bulan depan.

“Beliau seharusnya dapat sekurang-kurangnya sokongan 111 ahli Parlimen atau lebih terhadap usul percaya ini. Undi percaya ini seolah-olah seperti undi tidak percaya, maka Perdana Menteri kena dapatkan sokongan majoriti,” katanya lagi.

Walaupun terdapat MP yang mungkin positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat, Ismail Sabri masih perlu memastikan setiap wakil kerajaan berada dalam Dewan Rakyat dengan apa cara sekalipun.

“Sebab itu, kalau dilihat ketika pengundian Belanjawan 2021 pada tahun lalu, ada ahli Parlimen yang hadir memakai pakai perlindungan diri (PPE).

“Jadi ini menunjukkan kepentingan undi terhadap sesuatu usul apatah membabitkan usul percaya kepada Perdana Menteri,” katanya lagi.

Nik Ahmad Kamal berkata, usul percaya bertujuan untuk membantu kerajaan sama ada cukup sokongan atau sebaliknya dalam meneruskan pentadbiran termasuk mengubal polisi dan dasar negara.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM kesembilan pada 21 Ogos.

Terdahulu pada 16 Ogos lalu, Muhyiddin mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan sebagai PM selepas hilang majoriti sokongan PM dan cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

No comments: