Dalam sidang media pertamanya, Taliban berkata ia tidak mahu bermusuh atau berdendam dengan mana-mana pihak; ia mahu membina kerajaan Islam yang kuat dan ‘inklusif’; serta wanita tidak akan didiskriminasi dan akan dibenarkan bekerja dan belajar - selagi tidak keluar daripada kerangka Islam.
Namun, ia berdepan pandangan skeptik daripada pemerhati yang mengimbau dasar keras kumpulan itu, lebih-lebih ke atas golongan wanita ketika pemerintahannya dahulu pada era 90-an.
Bagi profesor pengajian keselamatan di Naif Arab University for Security Sciences (NAUSS) di Riyadh, Mohd Mizan Aslam, memang benar terdapat bibit perubahan pada apa yang digelarnya sebagai “Taliban 2.0” berbanding Taliban era 90-an.
Namun, apakah benar-benar Taliban akan berpegang pada kata-kata yang dijanjikannya atau tidak, hanya dapat dinilai setelah tentera Amerika Syarikat dan Wakil Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) berundur sepenuhnya daripada tanah Afghanistan.
“Saya sebenarnya ada keraguan, sehingga berakhirnya pengunduran AS dan juga kuasa-kuasa Eropah Nato, sepenuhnya daripada bumi Afghanistan.
“[...] Bagi saya kita kena tunggu sehingga berakhirnya gerakan keluar oleh tentera barat sepenuhnya, kemudian baru kita boleh lihat warna sebenar Taliban 2.0. Kena tunggu dan lihat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini kelmarin.
Tarikh akhir untuk tentera dan rakyat AS meninggalkan Afghanistan adalah pada 31 Ogos, namun, Setiausaha Negara AS Antony Blinken dilaporkan berkata Taliban memberikan jaminan gerakan keluar masih boleh dilakukan meskipun selepas tarikh itu.
Ditanya apakah bezanya Taliban 2.0 dan Taliban 1.0, kata Mohd Mizan, perubahan itu dapat dilihat daripada beberapa segi.
Antaranya, katanya, Taliban 1.0 dilatih oleh Agensi Perisikan Pusat AS (CIA), bagi Taliban 2.0, selain CIA, pejuangnya lebih ramai yang dilatih oleh Inter-Service Intelligence (ISI) Pakistan, sebagaimana dilaporkan beberapa sumber luar.
Ahli Taliban 2.0 juga dianggotai lebih banyak ‘orang luar’, terdiri daripada anak-anak warga Afghanistan yang diusir pada zaman Taliban 1.0 dan membesar dalam sistem pendidikan barat, sebelum dipanggil pulang untuk membangunkan semula Afghanistan semasa pengaruh AS antara 2001 hingga 2021.
Mereka ini, kata Mohd Mizan, mempunyai sudut fikiran yang berbeza dan berfikiran lebih terbuka.
Taliban 2.0 juga, katanya dibiayai secara sistematik dan menerima latihan yang lebih terancang berbanding Taliban 1.0 yang tidak berorganisasi dan menerima pembiayaan menerusi kelompok-kelompok kecil yang bertujuan untuk mengalahkan Rusia secara gerila.
Hujah Mohd Mizan, satu lagi hal yang tidak boleh diabaikan ialah, ketua Taliban, Abdul Ghani Baradar pernah ditahan CIA selama lapan tahun (hingga 2018), dan selepas pembebasannya, berjaya menjana kekuatan luar biasa yang tidak mungkin diperoleh melainkan mempunyai sokongan yang besar - termasuk dana.
Dakwanya, pola sama - ditahan, dilepaskan, dan menjadi kuat - dapat juga dilihat pada Osama Laden sebelum serangan 11 September, dan juga Abu Bakr al-Baghdadi, ketua kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
AS kena ‘checkmate’
Mohd Mizan berkata, terdapat rundingan yang tidak didedahkan antara CIA dengan Abdul Ghani - yang turut dilaporkan media antarabangsa beberapa hari lalu - antaranya seputar pengambilalihan negara dan senjata api.
Rundingan itu, katanya, susulan AS silap percaturan sehingga menyebabkan Taliban menakluk semula Afghanistan dengan mudah, dan menyebabkan AS terperangkap dalam percaturan sendiri.
Katanya, memang menjadi pola penjajah barat untuk meninggalkan “konflik tidak berkesudahan” di negara jajahan mereka sebelum mereka keluar atau menyerahkan pemerintahan kepada negara asal.
Kerana itulah, kata Mohd Mizan, AS melatih tentera nasional Afghanistan bawah pimpinan Mohammad Ashraf Ghani Ahmadzai, namun dalam masa sama turut membiayai Taliban.
Hujah Mohd Mizan, percaturan itu dibuat agar selepas AS keluar daripada Afghanistan, dua kelompok ini akan terus berperang saudara, meletakkan Afghanistan dalam keadaan konflik berpanjangan, manakala Afghanistan juga akan terus membeli senjata api daripada AS.
Ia juga, katanya, boleh dijadikan alasan sekiranya AS mahu menyerang Afghanistan semula pada masa hadapan.
Namun, agenda itu tergendala apabila Asyraf Ghani melarikan diri, membuka ruang mudah untuk Taliban menakluk Afghanistan.
“Bila presiden lari, tentera kerajaan termasuk panglima-panglima tentera pun lari, askar-askar lain pun lari, menyebabkan Taliban masuk dengan mudah.
“AS macam dah kena checkmate. Dan memang sebab itulah mereka sentiasa mengadakan siri rundingan (sulit). Ini memang jelas dilakukan, walaupun tidak dihebahkan (kandungan rundingan).
“Jadi kita memang takkan nampak taring (Taliban) sebenarnya, sehinggalah pengunduran sepenuhnya (AS dan Nato),” katanya lagi.
Kemenangan Taliban - apa kesannya di Malaysia?
Dari segi sejarah, cerita Mohd Mizan, Taliban terbentuk semasa era perang Afghanistan - Rusia, menerusi kelompok-kelompok kecil pejuang pembebasan Afghanistan antara 1979 hingga 1989.
Pada ketika itu, katanya, memang ada pelajar dari Malaysia dan Indonesia yang dilatih untuk menyertai kumpulan-kumpulan tersebut di Afghanistan, sebelum dihantar pulang selepas kemenangan Taliban.
Kelompok ini mengembangkan ideologi ekstrem dan ganas di rantau nusantara, menunggu ‘medan jihad’ dibuka - iaitu konflik atau pertempuran melibatkan Islam dan golongan yang dianggap kafir - untuk turut menyertainya.
Ini kata Mohd Mizan, dapat dilihat berlaku di selatan Filipina dan Sulawesi, Indonesia.
Meskipun kelompok yang terlibat aktif pada era 1980 hingga 2000-an itu kini mungkin sudah berusia, namun ada kemungkinan mereka merekrut generasi baru untuk memindahkan pengetahuan dan ideologi ekstrim dan terorisme.
“Apa yang merisaukan dalam aktiviti berkaitan terorisme ini ialah ideologi. Ideologi tak pernah tua, walaupun fizikal itu tua,” katanya.
Jadi, Mohd Mizan turut menjangkakan, sekiranya Taliban 2.0 kembali memerintah seperti cara lama - dengan ganas dan keras - ia mungkin mengundang serangan barat pada masa hadapan dalam versi perang yang baru.
Pada ketika itulah, katanya, ‘medan jihad’ akan dibuka, menggerakkan kelompok-kelompok Islamis yang berada di rantau ini - termasuk Malaysia - untuk turut serta sama, sekali gus akan menggerakkan semula aktiviti terorisme.
Buat masa ini, Mohd Mizan menjangkakan beberapa kawasan menjadi lokasi latihan yang subur buat kelompok berkenaan, seperti di Filipina, atau di Indonesia - sekitar Aceh, Sunda, Surabaya dan Banten.
No comments:
Post a Comment