Monday, August 30, 2021

Juruteknik meninggal dunia di hadapan restoran

Oleh OTHMAN YAHAYA
MAYAT mangsa yang ditutup di hadapan sebuah restoran di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah, hari ini.

SUNGAI PETANI: Seorang juruteknik sebuah kilang meninggal dunia selepas secara tiba-tiba rebah di hadapan sebuah restoran di Taman Keladi, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 57 tahun adalah pelanggan tetap di restoran itu disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi.

Katanya, mangsa yang juga tinggal di Taman Keladi sebelum ini sering membeli makanan di restoran itu untuk dibawa bekal ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Kulim, dekat sini.

Menurut beliau, lelaki terbabit dipercayai dalam perjalanan ke restoran itu sebelum rebah dalam keadaan terlentang sebelum meninggal dunia.

“Hasil temu bual polis dengan isteri mangsa mendapati mangsa mengadu tidak sedap badan ketika mahu keluar bekerja pada pukul 6.45 pagi.

“Walaupun dilarang bekerja, mangsa tetap keluar sebelum ditemukan pelanggan terlentang di hadapan restoran itu dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, siasatan polis di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur-unsur jenayah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar untuk di Hospital Sultanah Bahiyah,(HSB)  Alor Setar untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE

No comments: