Hilmi Malik
Menurut
Anas Zubedy, jika usaha negara untuk terus membasmi rasuah, maka kuasa
yang lebih kuat perlu diberikan kepada SPRM serta dilaporkan terus
sebarang kes di Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Usaha untuk membasmi budaya rasuah perlu terus diperkasa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penganalisis
politik dan penulis, Anas Zubedy berkata, Ismail Sabri juga perlu
memastikan tiada sebarang campur tangan politik dalam isu-isu berkaitan
rasuah.
Bahkan,
tegasnya, tidak perlu ada campur tangan ahli politik dalam kes rasuah
yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana ia merupakan teras utama
demokrasi.
Beliau berkata, usaha
membanteras rasuah perlu terus diperkasa termasuk meningkatkan kuasa dan
akses kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Anas
turut menegaskan, Perdana Menteri kesembilan itu juga wajar memberi
tumpuan kepada isu dana politik, justeru menggubal undang-undang
berkenaan, turut dialu-alukan.
“Kalau
kita ingin menangani rasuah, SPRM perlu diberikan kuasa yang lebih kuat
dan segala kes yang dikesan wajar dimaklumkan terus di Parlimen,” kata
Anas, ketika ditemu bual dalamAstro AWANI, di sini pada Sabtu.
Dalam
perkembangan berkaitan, Anas turut berpendapat, negara dan masyarakat
perlu melihat kesan rasuah dalam aspek yang meluas meski pun aktviti itu
melibatkan angka yang kecil.
Selama ini,
seolah-olah sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat apabila
berlaku rasuah dalam nilai kecil, tidak diambil berat, katanya.
Mengambil
contoh negara luar, beliau berkata, rasuah ialah subjek yang sensitif
bahkan boleh mendapat liputan muka depan akhbar, sekalipun tidak
melibatkan jumlah yang berjuta-juta ringgit.
Terdahulu,
Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri, dilantik sebagai Perdana Menteri
selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan
Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meletak
jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan
Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Ismail Sabri
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai
Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang,
di sini hari ini.
Istiadat Pengurniaan
Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia
Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan
Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja
Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
No comments:
Post a Comment