BANGI – Meskipun pelbagai kempen dan inisiatif dilaksanakan memujuk rakyat untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, tetapi masih ada pihak yang enggan atas alasan tersendiri.
Lebih dikesali, apabila turut membabitkan individu penting dalam sistem persekolahan.
Walhal, semua maklum langkah vaksinasi penting bagi memastikan aspek keselamatan guru dan pelajar terjamin apabila sesi persekolahan dibuka nanti.
Atas sebab itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik hasrat Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk membantu memberi penerangan kepada 779 guru di Johor yang menolak untuk menerima vaksin COVID-19.
Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, beliau bersetuju guru-guru itu dipanggil dan perlu diberikan penerangan serta khidmat kaunseling mengenai kebaikan vaksinasi.
“Tanggapan negatif terhadap vaksin perlu diperbetulkan dan khususnya yang menolak vaksin atas sebab agenda Yahudi dan sebagainya.
“Motivasi dan kaunseling itu perlu dibantu sokongan oleh para ulama atau asatizah agar difahamkan ia tidak bertentangan agama dan fatwa ulama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Selain itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan apa sahaja pendekatan yang sesuai dan memujuk bagi menyakinkan para guru itu bersedia untuk vaksinasi dengan penuh hikmah.
“Jika mereka menolak atas sebab munasabah, maka langkah saringan COVID-19 perlu dilakukan ketika sekolah dibuka nanti bagi mengelak penularan kes ini.
“KPM perlu berusaha mencapai 80 peratus guru mendapat dos pertama dan kedua sebelum sekolah dibuka nanti,” katanya.
Sesi persekolahan akan dibuka pada 3 Oktober 2021, secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan berdasarkan SOP MKN.
No comments:
Post a Comment