Jadi tanggungjawab pelbagai pihak termasuk NGO bergabung dalam pendidikan mualaf
BANGI – Sudah tiba masa pendidikan formal mualaf dimajukan lebih sistematik bagi menyokong kelestarian penghayatan Islam saudara baharu dengan bahasa yang difahami.
Selaras itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan pembangunan suatu modul kurikulum khas bagi melatih guru yang terlibat dalam membimbing mualaf di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (Ipdas) boleh memainkan peranan menjayakan misi itu.
“Saya percaya program pndidikan guru mualaf dapat melahirkan tenaga kerja mahir sama ada peringkat sijil atau diploma untuk mengangkat imej martabat usaha dakwah ini,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Beliau terdahulu berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Pendidikan Tinggi Islam Mualaf di Malaysia 2021 anjuran Ipdas, secara maya hari ini.
Sirajuddin berkata, usaha berterusan pendakwah itu penting kerana setiap tahun dianggarkan lebih 10,000 orang memeluk Islam di negara ini yang memerlukan bimbingan.
Justeru, menjadi tanggungjawab pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bergabung dalam pendidikan mualaf, katanya.
Beliau berkata, ini juga demi memastikan aspek pengurusan dan bimbingan dilaksanakan secara berstruktur dengan melahirkan seramai mungkin asatizah dalam kalangan Cina, Iban, Dusun dan lain-lain.
Malah katanya, penggunaan bahasa yang sama dengan golongan mualaf tidak fasih berbahasa Melayu, adalah suatu kelebihan dan mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran.
No comments:
Post a Comment