PETALING JAYA: Kumpulan antirasuah mengalu-alukan cadangan pelantikan Ahli Parlimen pembangkang sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dengan berkata, ia dapat mendorong langkah menuju politik yang matang.
Pengasas Rasuah Busters Hussamuddin Yaacub memberitahu FMT bahawa masyarakat umum akan melihat lantikan tersebut sebagai “kelegaan” daripada pertelingkahan politik yang telah berlangsung selama berbulan-bulan.
“Langkah kecil menuju politik baharu, politik yang matang,” katanya.
Cadangan ini dibuat semalam oleh bekas Timbalan Speaker, Azalina Othman Said.
Hussamuddin berkata, kepimpinan bipartisan sangat penting untuk pembangunan politik negara.
Beliau memuji Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana dapat mencapai kata sepakat mengenai pembaharuan, dengan berkata, ini akan melancarkan kerjasama dalam Parlimen.
Beliau menyeru agar semua Ahli Parlimen bersikap profesional dan menghentikan tabiat bertekak dan mengejek semasa perbahasan.
Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pihak pembangkang mempunyai ramai calon yang berkelayakan dan terlatih untuk memegang jawatan Timbalan Speaker.
Nga Kor Ming, Hannah Yeoh, Gobind Singh Deo dan Nik Nazmi Nik Ahmad adalah pilihan yang jelas, katanya.
“Namun ada banyak pilihan lain. Selain mampu dan terlatih, individu itu juga harus bersifat adil.
“Timbalan Speaker tidak patut mempunyai personaliti ‘kayu’,” kata Oh.
Dewan Rakyat mempunyai dua Timbalan Speaker dan kata Oh, seorang lagi, Rashid Hasnon, harus diganti dengan calon yang mampu daripada kerajaan ekoran kontroversi “pesta durian” membabitkannya pada akhir bulan Jun.
Ahli akademik Azmi Hassan berkata, Nga dan Yeoh adalah calon terbaik pembangkang.
Merujuk kepada Rashid, Azmi berkata, kontroversi “pesta durian” itu mungkin menjadikannya liabiliti dan “mungkin bagus” beliau mengundurkan diri secara sukarela.
Menurut G Manimaran, yang menulis buku mengenai pilihan raya Malaysia, Suhaizan Kaiat daripada Amanah tetap memegang jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor walaupun PH tidak lagi menjadi kerajaan negeri.
“Kita boleh guna DUN Johor sebagai contoh untuk Parlimen,” katanya.
No comments:
Post a Comment