Khamis, 22 April 2021

World #QuranHour dijangka peroleh 100 juta tontonan

azrulhakimie

Akan diadakan pada 24 Ramadan 1442H bersamaan 6 Mei 2021

SHAH ALAM, 9 Ramadan 1442H, Rabu – World #QuranHour, gerakan membina sistem nilai al-Quran dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia, dijangka memperolehi 100 juta tontonan di televisyen dan platform digital tahun ini.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sasaran itu dapat dicapai hasil kerjasama dengan rakan media yang memberi sokongan untuk menyebarluaskan misi #QuranHour di platform masing-masing, untuk dekati lebih ramai masyarakat di dalam dan luar negara.

Sinergi media daripada pelbagai pihak antaranya Bernama, Astro, TV AlHijrah, RTM, Kumpulan Media Prima, Sinar Harian, Kumpulan NSTP, Utusan Malaysia, The Star, Kumpulan Media Karangkraf, Nu Ideaktiv, IKIMfm dan blogger Denaihati Network, kembali bergabung untuk menjayakan World #QuranHour kali keenam.

“World #QuranHour telah berjaya capai 21 juta tontonan di 10 negara pada 2015, 87 juta tontonan di 70 lokasi di 50 negara (2016), 357 juta tontonan di 2,000 lokasi di 15 negara (2017), 646 juta di 76 lokasi di 50 negara dan 1.46 bilion tontonan di 300 lokasi di 76 negara (2019), sebelum COVID-19 melanda dan mencatatkan 10 juta tontonan pada 2020.

“World #QuranHour akan diadakan pada 24 Ramadan 1442H bersamaan 6 Mei 2021, dengan tema ‘MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah’, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya secara tertutup, bagi mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya di majlis taklimat dan sidang media bersama Sinergi Media sempena World #QuranHour 1441H/2021.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF Marhaini Yusoff berkata Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan, menjadi surah pilihan bagi #QuranHour pada tahun ini, dalam membina kerangka fikir dan karakter orang berjaya di dunia dan akhirat.

“Surah ini mengandungi tiga motivasi diri, enam pertanyaan dan enam jawapan, yang boleh dijadikan panduan untuk mewujudkan keharmonian sejagat di Malaysia dan peringkat global,” katanya.

#QuranHour tahun ini mengukuhkan penghayatan Surah Al-Mulk, melalui program Jom Mengaji Sebelum tidur setiap hari jam 10 malam bermula 15 Jan, Majlis bersama Ayah (sepanjang Ramadan), World #QuranHour (6 Mei), World Quran Convention (10 Ogos) dan Malaysia #QuranHour (30 Ogos) ini.

World #QuranHour di bawah penaung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini, dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi iaitu Bernama, Astro, TV AlHijrah, Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf, Nu Ideaktiv, Zayan FM, British Muslim TV, Islamic Tourism Centre, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Semalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Rumah Ngaji.

Orang ramai termasuk keluarga, komuniti, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan, dijemput menyertai atau menganjurkan World #QuranHour 1442H di lokasi masing-masing dengan mendaftar Hotspot di bit.ly/WQH1442H. – Bernama

Tiada ulasan: