PETALING JAYA: Sejak tiga hari lalu, warga asing dari beberapa negara menerima emel dari kedutaan mereka di Malaysia, yang memaklumkan mereka hanya mempunyai masa sehingga 21 April untuk meninggalkan negara ini tanpa didenda atau ditahan.
Tarikh tamat itu berdasarkan tempoh penangguhan kerajaan Malaysia untuk warga asing yang memegang pas lawatan sosial tamat pada tahun lepas susulan terkandas akibat sekatan kawalan pergerakan.
Perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 31 Mac, menjadikan 21 April sebagai tarikh akhir bagi tempoh penangguhan 14 hari itu. Walaupun PKP dilanjutkan hingga 14 April, kerajaan belum mengumumkan tempoh penangguhan itu diperbaharui, memaksa beberapa kedutaan asing untuk memberi amaran kepada rakyat mereka bahawa mereka mungkin mempunyai kurang dari dua minggu sebagai persiapan untuk meninggalkan, atau kekal (di negara ini) dan berdepan akibat.
Pada 7 April, warganegara Amerika Syarikat (AS) di Malaysia mula
menerima emel dari program pendaftaran pengembara yang dijalankan
Jabatan Negara AS mengenai tempoh penangguhan yang bakal tamat itu.
“Pihak berkuasa Malaysia tidak menunjukkan tempoh itu telah dilanjutkan,” menurut emel itu. “Warganegara AS di Malaysia yang memegang pas lawatan sosial yang sudah tamat tempoh perlu bersedia untuk meninggalkan Malaysia sebelum 21 April.”
Emel itu menyebut mereka yang kekal atau cuba meninggalkan negara ini selepas 31 April boleh dikenakan hukuman yang ketat, termasuk penahanan imigresen dan denda.
FMT difahamkan, sekurang-kurangnya tiga kedutaan diplomatik yang lain telah menghubungi warganegara mereka.
Seorang warga Romania yang tinggal di sini menerima emel dengan arahan sama dari kedutaannya pada Khamis malam, dan kemudian pada malam itu, Suruhanjaya Tinggi Britain menghantar mesej sama sebagai respons kepada pertanyaan melalui media sosial. Pada petang Jumaat, Kedutaan Itali menulis surat kepada warganegara yang tinggal di Malaysia.
Seorang pegawai kedutaan AS berkata beliau tidak menyedari emel jabatan negara itu, sementara kedutaan asing di Britain dan Itali gagal dihubungi untuk pengesahan.
Warga asing yang sudah menerima emel, kini tidak pasti mengenai tindakan seterusnya – sama ada bersiap untuk pergi atau menunggu, dengan harapan kerajaan Malaysia akan mengeluarkan arahan yang lebih jelas mengenai status mereka.
Pas lawatan sosial Malaysia sah untuk satu kemasukan bagi tempoh tiga bulan dari tarikh ia dikeluarkan. Kebanyakan pemegang pas itu yang mahu tinggal lebih lama, meninggalkan negara ini untuk beberapa hari dan kembali semula, bertujuan menandakan bermulanya tempoh baru untuk tiga bulan.
Penutupan antarabangsa akibat pandemik Covid-19 menyebabkan pembaharuan pas lawatan secara maya dilihat mustahil, ketika bagi kebanyakan orang lain, pulang ke negara asal ketika ini menelan belanja yang besar.
Seorang warga asing yang tidak mahu dinamakan berkata dia tidak dapat memperbaharui pas lawatannya sejak Malaysia menutup sempadan negara.
“Dan sekarang rakan saya mendapat emel ini, memberitahu mereka perlu tinggalkan (negara ini) dalam masa kurang dari dua minggu? Ia tidak semudah didengar. Sebahagian daripada kami sudah mula menetap di sini. Saya sudah menyewa sebuah rumah dan saya mempunyai banyak kucing. Bagaimana saya mencari rumah untuk mereka?” katanya.
Katanya, warga asing seperti dia tidak kisah sekiranya perlu membayar visa pelancong dengan tempoh sah yang lebih lama.
“Kerajaan sepatutnya menawarkan visa pelancong satu tahun dengan bayaran kepada mereka yang sudah berada di sini, yang mempunyai rekod prestasi pembaharuan berkala pas lawatan sosial kami. Kami dengan senang hati akan membayar lebih untuk tinggal lebih lama, daripada terus bimbang setiap kali PKP berakhir.
“Alangkah baiknya sekiranya kerajaan Malaysia dapat menjelaskan apa yang akan berlaku pada kami,” katanya.
FMT cuba menghubungi Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, namun gagal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan