Ahad, 11 April 2021

Jangan sabotaj arahan KPN, Patriot beritahu kerajaan

Mohamed Arshad Raji mengingatkan Hamzah Zainudin bahawa Akta Polis 
memberi kuasa kepada Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador untuk 
menukar pegawai.

PETALING JAYA: Kumpulan veteran tentera menyifatkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, menangguhkan arahan Ketua Polis Negara (KPN) untuk pertukaran pegawai kanan polis sebagai “sangat mengganggu”.

Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot), Mohamed Arshad Raji, berkata pertukaran pegawai bawah bidang kuasa KPN mengikut Akta Polis 1967.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pasukan Polis, yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri itu, hanya mempunyai bidang kuasa atas masalah disiplin dan hal pertukaran di mana tiada undang-undang lain berkait.

Memandangkan tindakan KPN, Abdul Hamid Bador berada bawah Akta Polis, “PATRIOT merasakan tiada ahli politik, termasuk Menteri Dalam Negeri, perlu campur tangan dalam kuasa KPN untuk mendisiplinkan dan menukar pegawainya,” kata Arshad dalam kenyataan.

Beliau memetik Seksyen 4 (1) akta itu, yang memberi kuasa kepada KPN dalam “kawalan dan arahan pasukan dan semua orang lain yang dilantik atau terlibat untuk tugas polis.”

“Menghentikan pertukaran pegawai dengan alasan tatatertib yang sudah diputuskan oleh KPN adalah tindakan yang berniat jahat dan bercanggah dengan Akta Polis,” katanya.

Katanya, dengan tuduhan penglibatan polis dalam sindiket jenayah Macau Scam dan “kartel polis” yang baru-baru ini disebut oleh Hamid, usaha KPN untuk meningkatkan imej pasukan itu tidak boleh diganggu.

“Beliau berani mendedahkan secara terbuka mengenai korupsi yang berlaku sejak beberapa tahun lalu. Orang ramai memuji tindakannya. Semua Ahli Jemaah Menteri, termasuk Menteri Dalam Negeri, mesti menyokongnya.

“Sebarang usaha untuk menggagalkan apa yang beliau cuba lakukan bagi membersihkan imej pasukan itu dilihat sebagai sabotaj dan bertentangan dengan kehendak rakyat.”

Dalam sidang media semalam, Hamid mengesahkan khabar angin yang tersebar mengenai Menteri Dalam Negeri mengeluarkan arahan untuk menangguhkan rancangannya menukar pegawai kanan polis.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan Hamzah dalam masa terdekat untuk “memberikan penjelasan mengapa ia perlu diteruskan.”

Tiada ulasan: