PETALING JAYA: Seorang wanita dilaporkan cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandunya terbalik di Kilometer 4.6 Jambatan Pulau Pinang arah Perai, Butterworth petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu dipercayai berlaku apabila MPV itu terbabas sebelum terbalik.
Memetik laporan Utusan Online, bomba berkata mangsa berusia 21 tahun itu cedera ringan dan dia dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam.
“Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya.
Berikutan itu, kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang dilaporkan sesak lebih sejam selepas ditutup seketika bagi kerja-kerja menyelamat.
Terdahulu, tular di media sosial gambar memaparkan keadaan trafik sesak di Jambatan Pulau Pinang susulan kemalangan sebuah kereta di lorong tengah jambatan itu lewat petang semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan