Selasa, 6 April 2021

'Wan Maimunah yang izinkan' - Lydiawati

Kuala Lumpur: "Ibu Wan Maimunah yang minta dan izinkan saya buat betul-betul," kata pelakon Lydiawati mengenai babak yang tular dia menunjal dan menolak kepala pelakon, Wan Maimunah dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 semalam.

Lydiawati yang melakonkan watak Rokiah berkata, dia mendapat keizinan daripada Wan Maimunah untuk menjayakan babak itu.

"Itu semua lakonan, bukan betul pun. Cuma sewaktu menjayakan babak itu termasuk babak bergaduh lain, ibu (Wan Maimunah) memang nak saya buat betul-betul.

"Dia cakap buatlah apa pun supaya dia juga dapat 'mood'. Saya kata kalau buat mesti kena kecam. Nampaknya ia memang terjadi. Sebenarnya ada banyak lagi babak bergaduh selepas ini.

"Itu semua permintaan dan diizinkan oleh ibu. Sewaktu latihan kami tak buat, tapi masa dah 'take' baru buat. Semuanya secara 'one take' saja," katanya kepada Harian Metro.

Lydiawati berkata, dia turut diminta penerbit dan penulis skrip untuk melakonkan watak itu secara 'over'.

"Saya diminta menjadi kejam terhadap Sirat (Intan Najuwa) dan ibunya iaitu Wan Maimunah. Pada mulanya saya nak biasa-biasa saja. Namun, penulis dan penerbit kata saya kena 'over' lagi. Jadi saya minta izin dan mereka okay sebab ia membantu mereka dapatkan 'feel' juga.

"Janganlah marahkan saya. Setiap kali selepas habis penggambaran, saya cakap kepada penerbit saya bersedia dengan makian netizen. Tapi sebelum buat babak bergaduh saya akan minta maaf. Contohnya dengan ibu, setiap kali selepas babak bergaduh saya akan memeluknya dan minta maaf," katanya.

Selain lakonan hebat Lydiawati, drama arahan Emi Sufian itu menampilkan pelakon Redza Rosli, Intan Najuwa, Wan Maimunah, Fendy Bakry, Azza Elite dan ramai lagi.

Tiada ulasan: