Kedai-kedai buku hadapi masa sukar kerana semakin ramai pembaca beralih ke buku digital.
Bangunan berwarna perang Menara Majestic di Petaling Jaya menempatkan sebuah ruang kecil istimewa berukuran 270 kaki persegi yang penuh dengan buku.
Ruang kecil yang dinamakan The Bibliophile Bookshop, adalah sebuah kedai kebanggaan dan juga kegembiraan seorang pemuda, J Kiridaren.
Bukan sekadar itu, ia juga dianggap sebagai satu kerja gila sebetulnya.
Mana tidaknya, Kiridaren membuka kedai bukunya pada Julai lalu, pada saat perniagaan mulai beralih ke dalam talian, selain pandemik Covid-19 yang menukar ekonomi negara kepada keadaan lebih buruk.
“Saya mula siarkan ulasan saya tentang buku-buku yang saya baca di Facebook. Ia membuat orang mula bertanya kepada saya di mana mereka boleh beli buku-buku itu,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Secara beransur-ansur, saya terlibat dalam industri buku, mulai dari membeli dan menjual buku terpakai sehinggalah bekerja di kedai buku, dan akhirnya mengusahakan kedai milik sendiri.”
Dia mengakui ramai peminat buku terkejut ketika mendengarnya membuka kedai buku fizikal pada waktu yang penuh ketidatentuan ini, namun dia percaya dengan nilai dan premis fizikal.
“Ramai pemain industri buku mengelak untuk membuka kedai fizikal kerana ingin kurangkan kos. Tetapi saya percaya sebuah kedai buku memiliki nilai yang lebih besar. Ia adalah ruang untuk pembaca dan penulis bertemu, dan ruang untuk membincangkan buku,” katanya.
“Budaya buku seperti ini wujud di kedai buku.”
Kiridaren juga yakin kewujudan kedai juga dapat membantu penjenamaan.
Katanya, walaupun kedai dalam talian boleh menjual buku dengan lebih murah, orang ramai yang gemar membeli buku akan terus mencari ruang bagi merehatkan minda dan dan membiarkan fikiran mereka mengembara dan meneroka.
Walaupun optimis dengan usaha yang dilakukan, Kiridaren berkata dia dan pengusaha kedai buku independen lain masih menghadapi masalah dengan penerbit yang membekalkan buku kepada mereka.
“Dulu, para penerbit cari kedai buku, tetapi sekarang mereka ingin dapatkan margin yang lebih tinggi untuk perniagaan mereka, jadi mereka jual buku sendiri atau upah ejen pemasaran mereka sendiri.
“Penerbit malahan mengurangkan margin kami dari 40% menjadi 25%.”
Bagi menampung margin yang berkurang itu, Bibliophile Bookshop turut sama menerbitkan buku sebagai tawaran lain kepada pelanggan.
Antara buku yang diterbitkan termasuk karya terjemahan “The Prince” karangan Niccolo Michaevelli, “The Alchemist” karya Paulo Coelho, dan “The Art of War” yang ditulis Sun Tzu.
Kiridaren yakin kedai buku fizikal akan kembali mendapat tempat setidaknya selepas pandemik yang melanda negara ketika ini berakhir.
Pemuda ini kini memiliki sebuah gudang buku terpakai, dan sebuah kafe buku.
Dalam pada itu, masalah sama turut dihadapi Gerakbudaya, sebuah kedai buku yang terkenal dengan jualan dan penerbitan buku alternatif.
Pengasasnya, Chong Ton Sin, memberitahu MalaysiaNow jualan kedainya menurun sejak 2016.
“Kami hadapi masa sukar pada tahun 2017. Kemudian pada 2018, kami berjaya bangkit disebabkan pilihan raya umum, orang ramai mencari buku berkaitan politik. Namun sejak 2019 dan ke depan, kami sekali lagi berdepan waktu sukar.
“Penerbit berkata mereka tidak lagi menerbitkan buku dalam jumlah yang banyak kerana tidak dapat menjualnya. Atau alasan lainnya, mereka tidak cukup wang untuk mencetak. Sekiranya tidak ada buku, bagaimana anda nak jual?”
Dengan jumlah pembekal, buku dan jualan yang semakin berkurangan, Gerakbudaya tidak mempunyai pilihan selain mengurangkan kos.
Syarikat itu terpaksa mengurangkan kakitangan dan mengambil langkah mengurangkan kos lain seperti memotong gaji pekerja.
Kedai buku Chong juga turut terjejas dengan penerbit bebas seperti Fixi dan Dubook, yang pada awalnya mendapat sambutan hebat industri buku, namun kini operasi kedua-dua syarikat itu juga semakin perlahan.
“Jualan buku mereka menurun. Mereka beritahu saya permintaan kini semakin perlahan. Saya fikir kualiti buku mereka yang merosot,” katanya.
Menurut Chong, perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah tamparan hebat terhadap perniagaan pengusaha buku. Pameran buku tidak lagi hidup, banyak syarikat tidak dapat keluar dan menjual buku mereka.
“Semua perkara ini menjadikan keadaan lebih buruk. Bagaimanapun, PKP ada kelebihannya, jualan kami dalam talian meningkat.
“Namun kami harap semuanya akan jadi lebih baik. Kami harap dapat menerbitkan dan menjual lebih banyak buku. Kami melakukan semua ini untuk generasi muda.”
Chong berkata, rakyat Malaysia masih membaca, namun buku fizikal tidak lagi menjadi pilihan utama.
Hal ini terjadi selepas kerana buku digital semakin mudah diperolehi dan boleh dibaca di skrin telefon pintar pembaca.
Dalam pada itu, ketika kedai buku bergelut dengan pelbagai cabaran, e-buku pula semakin mendapat tempat di Malaysia.
Faiz Al-Shahab, pengarah urusan e-Sentral, platform e-book Malaysia, memberitahu MalaysiaNow jualan e-buku semakin meningkat pada tahun 2016, tahun yang sama Chong mencatat penurunan jualan di Gerakbudaya.
“Ketika kami mulakan perniagaan pada tahun 2011, ramai orang anggap kami platform e-dagang di mana anda beli buku dan ia kemudian diposkan ke rumah anda.
“Kami ambil sedikit masa untuk orang ramai menyedari kami adalah platform e-buku, di mana pengguna boleh muat turun buku yang mereka ingin baca melalui aplikasi kami,” katanya.
Sewaktu pandemik melanda negara, keadaan itu banyak membantu syarikat.
Jualan e-buku e-Sentral melonjak sehingga empat kali ganda dalam tempoh sebulan sepanjang PKP tahun lalu.
“Ini merupakan titik tolak bagi industri e-buku di Malaysia. Kami bahkan mendaftarkan 25,000 pengguna baru dalam masa sehari sewaktu PKP,” katanya. e-Sentral kini memiliki 650,000 pengguna.
Walaupun kebanyakan e-buku yang dijual melalui platformnya dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata e-buku yang paling laris adalah novel-novel berbahasa Melayu.
“Namun, kadang-kadang kami lihat wujud juga peningkatan permintaan untuk buku bergenre bukan fiksyen dan lebih serius.
“Ia bergantung dengan apa yang berlaku waktu itu. Sebagai contoh, buku-buku tentang perdana menteri Singapura yang pertama Lee Kuan Yew meningkat jualannya ketika beliau meninggal dunia,” katanya.
Apa pun pilihan yang ada, sama ada buku yang fizikal atau digital, nampaknya warga Malaysia masih lagi membeli buku.
Hal ini sudah pasti menjadi khabar baik bagi mereka yang berada dalam perniagaan buku dan pembacaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan