Khamis, 8 April 2021

Tiga kawasan ditamatkan PKPD bermula esok

 Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan iaitu dua di negeri Sabah dan satu di Sarawak akan ditamatkan bermula esok.

Bagi negeri Sabah ia melibatkan Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu yang terletak di Kota Belud, manakala di Sarawak adalah Kampung Chupak, Siburan, Serian.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes aktif di lokaliti ini adalah terkawal, semua kes positif telah menerima rawatan serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu.

Jelas beliau, semua kontak rapat di kawasan itu juga telah diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14.

“Bagi kes di Kampung Lebak Moyoh KKM telah melaksanakan 558 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 13 kes telah direkodkan.

“Di Kampung Siasai Tamu pula, KKM telah melaksanakan 602 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes telah direkodkan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti itu terkawal dan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 22 Mac lalu iaitu sebanyak lima kes.

“Sementara itu, bagi kes di Kampung Chupak, Siburan, KKM telah melaksanakan 968 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 111 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” ujarnya.-K! ONLINE

Tiada ulasan: