Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan sindiket perjudian dalam talian cuba menghidupkan kembali aktiviti mereka selepas sekian lama menyembunyikan kegiatan berkenaan.
Ia susulan penularan dua video mempromosi aktiviti perjudian dalam talian sempena Hari Raya, yang tersebar di laman sosial yang muncul sejak beberapa hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, pihaknya sentiasa memantau sebarang kegiatan dan aktiviti perjudian itu sama ada melalui kewujudan premis atau secara dalam talian.
"Kita (Polis KL) yakin ada usaha oleh sindiket untuk menghidupkan kembali aktiviti judi dalam talian namun JSJ tidak berputus asa dan tidak akan berhenti untuk mengesan dan menangkap mereka yang terbabit.
"Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan aktiviti judi dalam talian yang dipromosikan ini," katanya selepas menyerbu tiga premis pelacuran di Taman Maluri, di sini, hari ini.
Saiful Annuar berkata, aktiviti perjudian yang dipromosikan ini bukan hanya mensasarkan kegiatan pada musim perayaan malah dijangka akan berterusan pada hari-hari biasa.
"Kita akan kesan mereka melalui pelbagai kaedah dan cara yang ada serta bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti ini dapat dihapuskan.
"Malah JSJ Kuala Lumpur, turut mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai," katanya.
Terdahulu seramai lima pelakon dan tiga individu yang terbabit dalam produksi sebuah iklan mempromosi aktiviti perjudian sempena Hari Raya diberkas Polis Daerah Dang Wangi.
Dua daripada mereka bagaimanapun ditahan reman manakala selebihnya dibebaskan selepas siasatan dijalankan.
Ekoran dari itu, polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Loh Kee Hoe, 35, yang disyaki adalah dalang utama kepada pembikinan dua video iklan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan