Sabtu, 10 April 2021

Selangor benarkan tarawih, SOP sama solat Jumaat

SHAH ALAM: Selangor membenarkan umat Islam solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat di masjid dan surau sepanjang Ramadan tahun ini, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Bagaimanapun beliau berkata, pengurusan masjid dan surau dinasihatkan untuk membaca surah yang pendek atau ayat lazim, ketika melaksanakan solat sunat itu.

"Prosedur operasi standard (SOP) solat sunat tarawih sama seperti solat Jumaat, di mana jemaah perlu bawa sejadah sendiri, membuat semakan suhu, memakai pelitup muka dan mendaftar terlebih dahulu sebelum ke masjid," katanya pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea Tautan Ukhwah Syarikat Korporat Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan tidak menghebahkan SOP solat sunat tarawih kepada umum, bagi mengelakkan berlakunya salah faham dalam kalangan jemaah.

"Jadi kita taklimatkan sahaja kepada nazir dan pengerusi masjid yang bertanggungjawab, dalam memastikan protokol kesihatan sepanjang pelaksanaan solat sunat tarawih," katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: