KUALA LUMPUR: Dituduh berkahwin di sempadan Thailand, membelakangkan bapa, hidup bermadu dan pelbagai lagi tohmahan yang terpaksa ditelan pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan, 39, sebaik bergelar isteri kepada pegawai polis, Meor Mohammad Aidid.
Semalam, Serina mengesahkan dirinya bergelar isteri buat kali kedua menerusi entri dalam laman Instagram (IG). Bagaimanapun, Serina tidak berkongsi perincian mengenai majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di sebuah negeri di utara tanah air.
Belum sempat menikmati hari bahagianya, perkongsian bapanya yang juga chef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dalam IG memberitahu tidak tahu mengenai majlis pernikahan Serina dan Aidid, selain mendakwa anaknya sulungnya itu bernikah di Thailand menjadi kecoh serta tular.
Menerusi entri IG, Chef Wan agak berang berikutan netizen menyalahkannya kerana tidak mengizinkan Serina berkahwin cepat, sedangkan beliau tidak membantah, sebaliknya hanya minta bersabar selama beberapa bulan untuk menyiasat latar belakang menantunya itu.
Chef Wan mendakwa, dia mahu melihat sijil cerai apabila mendakwa menantunya itu belum menceraikan isteri pertama.
"Tak cerai bini tua lagi, tetapi depan saya kata sudah bercerai. Itu sebab saya minta surat cerai. Nak siasat dahulu sebelum menikahkan mereka.
"Rupanya ada orang bagi tahu mereka sudah kahwin di Siam. Bila tanya Rina minggu lalu baru dia jelaskan. Kenapa di rumah saya berbohong hingga saya berkongsi perbualan dalam laman sosial.
"Apa jenis lelaki bawa anak saya kahwin ke Siam sebagai isteri nombor dua? Saya tak pernah halang Rina berkahwin, saya sangat gembira anak bertemu jodoh.
"Seperti yang saya beritahu Rina, saya nak siasat dahulu, dia aniaya bini tua, penipu ke atau ada perangai tak baik. Saya juga mahu bertemu ibu bapanya terlebih dahulu. Sedih hati saya mengingatkan seorang anak," tulisnya dalam IG.
Sementara itu, Serina dalam perkongsian dalam IG menjelaskan kekecohan yang berlaku hingga menyebabkan bapanya meluahkan isi hati dalam beberapa hantaran di laman sosial.
"Saya mahu menjelaskan kekeliruan dan minta netizen jangan mudah menghukum orang lain dengan menambah fitnah kepada saya dan suami.
"Mengenai tulisan papa yang dia tidak tahu kami bernikah dan berkahwin di Siam itu tidak benar sama sekali. Kami bernikah di sebuah negeri dalam Malaysia.
"Jadi, berhentilah buat tuduhan dan fitnah, besar dosanya nak menjawab di akhirat kelak. Sebab itu, kalau kita tak tau jangan memandai nak komen dan hentam orang lain.
"Secara jujur, papa sudah tahu kami akan bernikah. Saya sudah memaklumkan kepada papa, malah suami pun sudah berjumpa dengannya," tulis Serina.
Serina menjelaskan, lelaki pilihannya itu bukan suami orang, sebaliknya berstatus duda.
"Sebelum mengenali saya, suami sudah ada masalah perkahwinan disebabkan jarak jauh dan belum ada zuriat. Jangan menuduh suami saya tidak benar.
"Saya terkejut papa cakap kami berkahwin di Siam. Secara logik, sempadan tak dibuka bagaimana mahu berkahwin di Siam? Cuba doakan yang baik-baik dan jangan jadikan media sosial tempat menambah dosa, mengumpat, fitnah dan memaki hamun orang lain.
"Semua yang terjadi atas izin Allah, jodoh kami sudah tertulis," katanya.
Serina mengakui, ada pihak yang cuba menghasut bapanya itu.
"Memang ada yang suka tengok keluarga kami hancur. Apapun, saya tetap menghormati papa. Kami tiada masalah pun selama ini. Bahkan, papa sendiri ada memuat naik entri dalam IG merestui hubungan kami.
"Malah, papa pernah mempelawa buat sahaja majlis kenduri di restoran miliknya. Apapun, saya memaafkan orang yang memfitnah dan cuba menghancurkan keluarga kami.
"Moga mereka diberikan hidayah. Tolong hormat keluarga mentua saya, mereka juga ada perasaan. Saya mohon doakan perkahwinan kedua saya ini bahagia hingga ke akhir hayat," katanya.
Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka
bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan