Sabtu, 10 April 2021

Remaja diugut gambar bogel disebar

KUALA LUMPUR: Kesilapan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun berbual dengan seorang rakan lelaki yang hanya dikenali melalui media sosial dalam keadaan berbogel mengundang padah apabila lelaki terbabit mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata risau dengan ugutan yang diterima, remaja perempuan itu membuat satu laporan polis, kira-kira jam 4 petang, semalam.

Menurut Eng Lai, siasatan awal mendapati remaja terbabit yang tinggal di Jinjang, Sentul di sini, baru mengenali suspek tiga bulan lalu melalui platform media sosial, Instagram.

"Dalam tempoh itu, mereka sering berhubung melalui Instagram sehinggalah suspek memujuk mangsa untuk berbogel ketika berkomunikasi melalui panggilan video.

"Suspek kemudian membuat tangkap layar ketika panggilan video berlangsung tanpa disedari oleh mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, suspek kemudian mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar bogel mangsa sekiranya dia enggan memperkenalkan rakan-rakannya kepada suspek.

"Susulan laporan dibuat oleh mangsa, polis sedang berusaha mengesan suspek berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh mangsa.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan penggunaan media sosial secara tidak wajar," katanya.

Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sewaktu menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Tiada ulasan: