Jumaat, 9 April 2021

Rumah peneroka Felda Jengka Satu musnah terbakar menjelang Ramadan

  Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

RUMAH peneroka Felda Jengka Satu musnah terbakar petang semalam ketika penghuninya tiada di rumah di Maran, Pahang. UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD

MARAN: Menjelang Ramadan minggu depan, seorang penerokawati di Felda Jengka Satu di sini menerima dugaan apabila rumah papan miliknya musnah lebih 90 petatus dalam kejadian kebakaran semalam.

Rumah berkenaan di huni, Shelan Hamid, 74, bersama anaknya, Sabri Abdul Rahim, 35, yang masih bujang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, Sabri yang ketika itu berada di ladang sawit terkejut dimaklumkan jiran rumah pusakanya terbakar.

Menurutnya, semasa kejadian rumah tiada penghuni kerana emaknya berada berada di Lipis menziarahi keluarga yang menetap di sana.

“Saya bergegas pulang dan ketika sampai rumah api sedang marak memusnahkan semua barangan rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sabri berkata, dia tinggal bersama emaknya di rumah pusaka arwah ayahnya, Abdul Rahim Mohd. Yunan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka, Raja Mohd. Arif Raja Shamsudin berkata, sebaik menerima maklumat, seramai tujuh anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

Jelasnya, ketika anggota bertugas sampai ke lokasi, api sedang marak, bagaimanpun kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke rumah jiran.

“Jumlah kerugian dan punca kebakaran sedang disiasat dan kita menasihatkan orang ramai supaya berwaspada menggunakan bahan api termasuk mematikan punca elektrik ketika tidak digunakan apatah lagi rumah tiada berpenghuni,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Jengka Satu Abdullah Ani berkata, beberapa pihak menghulurkan bantuan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Sahaniza Shamsuddin, Pegawai Daerah Maran, Sharudin Jali dan Pengarah Wilayah Jengka, Mohd. Termizi Lee.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: