Jumaat, 2 April 2021

Pusat internet komuniti bantu orang awam daftar vaksin Covid-19

Oleh OMAR ZIN
SEMUA pusat internet komuniti di seluruh negara kini dijadikan pusat bantuan untuk orang awam mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui MySejahtera. - MEDIA SOSIAL

PETALING JAYA: Kesemua pusat internet komuniti di seluruh negara kini dijadikan sebagai pusat bantuan dalam usaha membantu orang awam mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui MySejahtera.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, inisiatif itu dibuat bagi membantu orang terutamanya warga emas yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar.

“Sehubungan itu, kakitangan pusat internet komuniti yang bertugas sepenuh masa akan membantu melicinkan proses pendaftaran. Terdapat juga paparan poster di pusat ini mengenai pendaftaran vaksin Covid-19 melalui MySejahtera bagi memaklumkan orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, usaha itu juga diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pentingnya proses vaksinasi dalam membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

“Bagi mereka yang masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19, sila manfaatkan kemudahan yang disediakan di pusat internet komuniti untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh menghubungi pihak pusat anda yang berdekatan,” katanya.

Pusat internet komuniti adalah salah satu inisiatif untuk menyediakan kemudahan internet di kawasan yang kurang mendapat liputan selain menyemai kemahiran berasaskan komputer.

Setakat ini, terdapat 873 buah pusat internet komuniti di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: