Isnin, 5 April 2021

PTPTN peruntuk zakat RM100,000 bantu baiki rumah asnaf

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
WAN Saiful Wan Jan (kanan) menyampaikan sumbangan 12,000 pelindung muka kepada Shafiy Zakaria untuk digunakan imam-imam di negeri ini semasa program Kayuhan Jalinan Kasih @ CSR TVET 2020 di Kampung Bahagia, Kuala Perlis, hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI

KANGAR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM100,000 pada tahun lalu melalui bayaran zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membantu membaiki rumah golongan asnaf di negeri ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, bantuan tersebut disampaikan melalui Program Jalinan Kasih @ CSR TVET peringkat negeri Perlis 2020 yang merupakan inisiatif Kolej Komuniti Arau.

Katanya, sebanyak 19 buah rumah asnaf yang terlibat dalam program tersebut iaitu tujuh buah rumah di Kangar dan masing-masing enam di Arau dan Padang Besar.

“Melalui program ini, pelajar-pelajar dari Kolej Komuniti Arau terlibat dalam membantu kerja-kerja pendawaian elektrik dan membaiki rumah mengikut keperluan golongan asnaf yang terpilih.

“Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) itu bertujuan meningkatkan kemahiran pelajar termasuk memberi peluang melakukan kerja-kerja lapangan sebenar,” katanya pada Program Kayuhan Jalinan Kasih @ CSR TVET yang bermula di Al-Hadad Farm Village, Kuala Perlis di sini hari ini.

Turut berangkat ke program kayuhan tersebut, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Peserta kayuhan turut berkunjung ke tiga buah rumah asnaf yang menerima bantuan melalui Program Jalinan Kasih @ CSR TVET.

Sementara itu, Wan Saiful turut menyampaikan sumbangan 12,000 pelindung muka kepada wakil imam besar Perlis, Shafiy Zakaria untuk digunakan imam-imam dan penjaja kecil di negeri ini.

“Sumbangan tersebut adalah sebagai penghargaan kami kepada imam-imam dan penjaja kecil serta dapat digunakan untuk tujuan seperti membaca khutbah dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: