Jumaat, 23 April 2021

Ponteng kerja 15 tahun tetap dapat gaji penuh

 Oleh KOSMO!

Seorang pekerja hospital di Itali mendapat bayaran gaji penuh meskipun ponteng kerja sejak 2005. - Getty

CATANZARO, Itali – Seorang lelaki mendapat gelaran “Raja Ponteng” apabila tidak pernah hadir bekerja selama 15 tahun namun masih berjaya mendapatkan gaji bulanannya, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.

Lelaki itu mula ponteng kerja di Hospital Pugliese Ciaccio sejak 2005 dan perbuatannya itu dikatakan memecahkan rekod kebangsaan tidak datang bekerja di Itali.

Polis memaklumkan pekerja hospital itu masih menerima gaji bulanan selama 15 tahun itu yang berjumlah  dibayar gaji bulanan berjumlah £464,000 (RM2.7 juta) walaupun tidak datang bekerja setiap hari sepanjang tempoh itu.

Suspek berusia 67 tahun itu kini berdepan tuduhan penyalahgunaan pejabat, pemalsuan dan peras ugut yang serius.

Enam pengurus di hospital itu turut disiasat kerana disyaki berperanan untuk membantu suspek mengelak hadir bekerja.

Dikatakan orang yang tidak datang bekerja adalah masalah di sektor awam Itali.

Siasatan yang diberi nama Part Time menyaksikan polis mengumpulkan bukti daripada rekod gaji, laporan kehadiran dan bercakap dengan saksi seperti rakan sekerja.

Pada 2005, lelaki itu didakwa telah mengugut  pengarah hospital ketika itu daripada membuat laporan disiplin berhubung ketidakhadirannya.

Tidak lama kemudian, pengarah itu bersara dan kegiatan ponteng suspek terus berleluasa kerana tiada pegawai daripada pihak pengurusan hospital memeriksa laporan kehadiran bekerja suspek.

Pada 2016, kerajaan Itali memperketat undang-undang terhadap mereka yang gemar ponteng kerja selepas beberapa siasatan polis berprofil tinggi mengetahui sebilangan besar masalah berkenaan berlaku di sektor awam. – Agensi

Tiada ulasan: