Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 71,127 saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Ubahsuai Ekzos yang diadakan bermula 1 hingga 31 Mac lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,954 saman adalah atas kesalahan mengubah suai ekzos, merangkumi 4,926 ke atas motosikal, 1,627 melibatkan kereta dan bakinya 401 saman membabitkan kenderaan-kenderaan lain.
“Selain itu, sebanyak 2,781 kenderaan disita membabitkan 2,696 motosikal, kereta (66) dan lain-lain kenderaan (19),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kenderaan disita bagi tujuan pemeriksaan dan akan diserahkan semula selepas kenderaan diubah suai kembali kepada spesifikasi asal.
Tegasnya, operasi serupa akan diadakan dari semasa ke semasa di samping operasi lain bagi membanteras samseng jalanan, mabuk, langgar lampu merah dan lain-lain.
Selain itu, Azisman berkata hampir RM32 juta bayaran saman membabitkan 291,157 saman telah dibayar menerusi MyBayar Saman setakat 31 Mac lepas.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan