Ahad, 4 April 2021

PM mulakan lawatan rasmi ke Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini, petang ini, untuk lawatan rasmi dua hari ke Brunei sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23, antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini, pada jam 3.55 petang.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda Al Muhtadee Billah, yang juga Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Brunei, beberapa anggota Kabinet Brunei serta pegawai kanan kerajaan negara itu.

Turut menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri M Shahrul Ikram Yaakob serta pegawai di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Muhyiddin kemudian diberikan sambutan rasmi dengan memeriksa kawalan kehormat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Perdana Menteri kemudian turut diperkenalkan kepada beberapa anggota Kabinet Brunei.

Ketibaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut oleh Pengiran Muda Mahkota dan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. - Foto BERNAMA
Ketibaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, 
Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut oleh Pengiran 
Muda Mahkota dan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, 
Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan kawalan kehormat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarangsa Bandar Seri Begawan hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan 
kawalan kehormat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sejurus 
tiba di Lapangan Terbang Antarangsa Bandar Seri Begawan 
hari ini. - Foto BERNAMA

Muhyiddin dijangka menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah esok yang mana ia adalah pertemuan kali pertama Perdana Menteri sejak menjawat jawatan lebih setahun lalu.

Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 dijangka menyenyuh mengenai pelbagai perkara kepentingan bersama seperti hal ehwal serantau, isu dua hala, ekonomi dan hubungan kedua-dua negara pasca COVID-19.

Sementara itu Hishammuddin pada sidang media bersama wartawan Malaysia berkata, pertemuan antara kedua-dua pemimpin adalah penting dan tepat pada masa bagi mengukuhkan hubungan dua hala, terutama ketika cabaran wabak COVID-19 pada masa ini.

Beliau berkata Brunei juga adalah negara penting dalam konteks kerjasama sesama negara ASEAN.

Antara perkara utama perbincangan, katanya, ialah mengenai cadangan mewujudkan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas antara Malaysia dan Brunei.

"Perbincangan mengenai pengiktirafan bersama sijil vaksin COVID-19 juga akan memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara," katanya selepas mesyuarat mengenai lawatan itu bersama rakan sejawatnya, Menteri Luar II, Erywan Yusof, semalam.

Beliau berkata pada masa ini tidak ada siapa yang boleh mendakwa mereka ada kaedah terbaik menyelesaikan isu berkaitan wabak itu, justeru perbincanngan secara bersemuka adalah mustahak antara pemimpin.

Malah, cadangan kerjasama dalam bidang diplomasi vaksin COVID-19 itu juga ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi.

Beliau berkata perbincangan kedua-dua pemimpin juga dijangka menyentuh mengenai isu kemanusiaan di Myanmar selaras kedudukan Brunei sebagai Pengerusi ASEAN.

Katanya perbincangan dijangka berupaya menentukan sekurang-kurangnya asas apa yang boleh dilakukan berkaitan isu Myanmar itu.

Beliau berkata perundingan kedua- dua pihak juga menunjukkan kesedaran Malaysia dan Brunei untuk bersama-sama menyelesaikan cabaran yang semakin meningkat khususnya berikutan pandemik COVID-19.

Hishammuddin berkata, sempena lawatan itu, Sultan Hassanal Bolkiah dan Muhyiddin dijangka menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pengurusan bencana antara kedua-dua kerajaan membabitkan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan perjanjian 'unitisation' di antara PETRONAS dan Brunei National Unitisation Secretariat dalam sektor minyak dan gas.

Tiada ulasan: