Menteri Sains, Teknologi dan Imovasi, Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan sedang meneliti perkembangan varian baharu itu serta data klinikal yang dikeluarkan, dengan mengambil kira keberkesanan vaksin.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, terdapat beberapa vaksin dengan data klinikal melaporkan keberkesanan terhadap varian Afrika Selatan itu.
"Varian baharu dari Afrika Selatan ini agak agresif, sudah pun dikesan di Malaysia. Ini menyumbang kepada pertimbangan kita kepada pembelian vaksin yang mampu menangkis varian berkenaan.
"Bagi vaksin yang lain, kita sedang pertimbang menambah vaksin yang berkesan terhadap varian baharu dari Afrika Selatan.
"Ada beberapa vaksin yang dilaporkan berkesan terhadap varian Afrika Selatan sebagai contoh Pfizer, Novavax dan Johnson and Johnson," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.
Terdahulu, Khairy mengadakan mesyuarat tertutup bersama Hasni serta ketua agensi awam negeri ini.
Sementara itu, Khairy berkata, Malaysia akan membuat lebih banyak genomik analisis genom virus yang dikesan di negara.
Katanya, langkah itu dibuat supaya varian baharu yang ditemui dapat direkodkan secara sistematik di Malaysia.
"Kerisauan utama saya adalah mutasi virus ini. Sekiranya berubah dan menjadi varian baharu,ia akan lebih susah untuk vaksin berkesan.
"Kita akan terus pantau perkara ini dan kena buat lebih banyak analisis kepada genom virus yang dikesan di Malaysia supaya kita tahu kes di negara ini berasal negara mana.
"Kebimbangan kita adalah mutasi. Jika virus COVID-19 terus bermutasi mungkin pandemik ini menjadi endemik.
"Ia (COVID-19) ini tidak akan tamat, kita perlu ambil suntikan vaksin setiap tahun," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, jumlah pendaftaran penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera mencapai 7.8 juta, setakat ini.
Katanya, beliau berpuas hati berikutan jumlah pendaftaran vaksin peringkat nasional kini menjangkau 35 peratus daripada sasaran.
"Negeri paling rendah pendaftaran vaksin adalah Sabah dengan 11 peratus daripada sasaran diikuti Kelantan, 17 peratus daripada sasaran.
"Ramai rakyat masih bersikap tunggu dan lihat. Mereka mahu tunggu dan lihat penerima vaksin awal ada kesan negatif atau tidak, sebelum mereka mendaftar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan