Isnin, 5 April 2021

PKPD di 3 Kolej Kediaman UMS

Oleh SURAIDAH ROSLAN
MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan dilaksanakan bermula esok hingga 18 April ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pelaksanaan itu berikutan pengesanan 19 kes positif Covid-19 yang direkodkan di lokaliti ini.

Beliau berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 133 ujian saringan dan 19 orang didapati positif Covid-19.

Tiga kolej kediaman itu adalah Kolej Kediaman (KK) Tun Mustapha, KK Tun Fuad dan KK Tun Pengiran Ahmad Raffae.

“KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di ketiga-tiga kolej kediaman tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Selain pelaksanaan PKPD di kolej kediaman UMS, kerajaan turut melaksanakan PKPD di dua lokaliti lain bagi tempoh sama iaitu Kampung Pagalungan Ansip, Keningau dan Kampung Kalindukan, Nabawan.

Di Kampung Pagalungan Ansip, daripada 146 ujian saringan dilakukan sebanyak 15 kes positif Covid-19 direkodkan manakala, sebanyak 99 ujian saringan dilakukan di Kampung Kalindukan dan daripada jumlah itu lapan kes positif Covid-19 direkodkan.

Menurut Masidi, pelaksanaan PKPD di ketiga-tiga lokaliti itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kemmenterian Kesihatan.

Pelaksanaan PKPD ini memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan dalam komuniti. UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: