
PUTRAJAYA: Penutupan sementara bilik berita TV Sarawak (TVS) menyaksikan penyampai berita dan wartawan stesen itu terpaksa bersiaran langsung dari rumah masing-masing.
Malah salah seorang penyampai slot berita Utama TVS, Khairil Zharif Affindie yang disahkan positif Covid-19 pula perlu bersiaran dari sebuah pusat kuarantin khas wabak itu di Kuching.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman, pendekatan digunakan itu adalah bertepatan dengan misi stesen menyampaikan bahan tontonan yang segar penuh pengisian.
“Covid-19 bukan alasan untuk kita tidak berkarya. Penonton mahu berita terkini. Kita perlu jadi penyiar kreatif menggunakan cara terbaik bersiaran,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau sendiri yang berpengalaman sebagai penyampai berita di pelbagai stesen penyiaran tempatan juga memaklumkan akan turut serta berlintas langsung siaran dari kediamannya.
Jelasnya, pada masa yang sama, langkah unik itu sejajar matlamat TVS bagi menghiburkan dan menginspirasikan semua pihak dalam keadaan pandemik itu semakin serius di Sarawak.
Suhaimi menambah, penggantungan sementara operasi bilik berita stesen tersebut tidak juga mematahkan semangat staf dengan semua slot berita dan penerbitan program diteruskan.
“Namun ia harus dilakukan di tempat selamat dan memandangkan hampir semua bekerja dari rumah, berita akan disampaikan wartawan dari kediaman dengan teknologi terkini,” katanya.
Antara mereka yang akan bertugas menyampaikan berita bermula pada slot 8 malam dari rumah masing-masing ialah Steward Dawi, Priscilla John, Nur Suhaida dan Connie Grace.
Inisiatif julung kali itu sekali gus menjadikan TVS sebagai stesen pertama di negara ini yang berbuat demikian ekoran penutupan pejabat operasi disebabkan situasi buruk Covid-19.
Stesen yang bersiaran 24 jam itu mempunyai 11 slot siaran berita setiap hari sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Iban serta dapat disaksikan di seluruh negara.
TVS diuruskan Sarawak Media Group milik kerajaan negeri itu mula
dilancarkan secara rasmi pada 10 Oktober tahun lalu yang dapat diikuti
melalui saluran 122 di platform Astro dan MYTV. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan