Isnin, 19 April 2021

Pengguna dinasihat buat perbandingan harga sebelum beli

 Oleh NUR HUDA MUSA

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Ariffin Samsudin (dua dari kanan) membuat pemeriksaan dan pemantauan harga pada Operasi Pemeriksaan Prihatin KPDNHEP berhubung kenaikan harga ayam dan sayuran di Pasar Basah Datuk Keramat di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengguna dinasihatkan agar sentiasa membuat perbandingan harga barangan sebelum membuat keputusan pembelian.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, perbandingan harga boleh dibuat melalui aplikasi Price Catcher yang diperkenalkan oleh KPDNHEP bagi mendapatkan harga dan premis yang terbaik sebelum berbelanja.

“Sehingga 18 April, KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan di 472 premis di sekitar Kuala Lumpur. Pemeriksaan hari ini pula adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh dari pengadu-pengadu di sembilan saluran KPDNHEP mengenai kenaikan harga barang seperti ayam dan sayur-sayuran.

“Pemeriksaan di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini mendapati rata-rata peniaga menjual barangan keperluan seperti ayam pada kadar harga RM8.80 sehingga RM9.50 sekilo,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan prihatin berkaitan kenaikan harga barang di Pasar Datuk Keramat, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan kali ini juga meliputi pelaksanaan penguatkuasaan bersasar dan seragam dibulan Ramadan dan menjelang Aidil Fitri di bawah Ops Pantau 2021.

Ditanya sama ada KPDNHEP ada mengesan kenaikan harga melampau seperti yang tular di media sosial baru-baru ini Ariffin berkata, pihaknya mendapati ada kenaikan harga pada barangan seperti ayam, tetapi tidak terlalu mahal seperti yang diwar-warkan di media sosial.

“Harga memang ada sedikit kenaikan tetapi tidak seperti yang tular dalam media sosial. Berdasarkan pemeriksaan kita dapati pengguna masih lagi mampu membeli dengan harga-harga yang ditawarkan.

“Sebenarnya kenaikan bekalan harga ayam ini bukan semata-mata dinaikkan oleh peniaga, tetapi dinyatakan sendiri oleh mereka bahawa harga naik berdasarkan bekalan daripada pemborong,” ujarnya.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas 53 premis mendapati, majoriti peniaga di pasar itu juga mematuhi peraturan serta perundangan yang berkuatkuasa. – K! ONLINE

Tiada ulasan: