Sabtu, 10 April 2021

Meriah macam tak ada PKP, penganjur lumba drag dikompaun

meriah macam tak
Meriah macam tak ada SOP PKP hingga tular di media sosial kemeriahan acara lumba drag di SIC Sepang malam tadi./ Gambar media sosial

MERIAH macam di stesen bas nak balik raya.

Itu situasi yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) malam tadi.

Kehadiran terlalu ramai manusia pada satu program di SIC malam tadi ternyata menyukarkan penjarakan fizikal.

Ini seperti mana yang disyaratkan pihak berkuasa dalam prosedur operasi standard (SOP) penganjuran sesuatu kejohanan sukan.

Lebih parah apabila permit diberikan setakat 12 tengah malam tetapi orang ramai enggan bersurai walau program sudah tamat.

Akhirnya, yang tanggung akibat sudah tentu penganjur apabila dikompaun kerana gagal memastikan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa sama, ramai peminat sukan bimbang insiden malam tadi akan menyebakan pihak berkuasa mengkaji balik kebenaran yang telah diberikan untuk penganjuran sukan.

Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga.

Berhubung insiden di SIC malam tadi, Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, penganjur program berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi permit.

Katanya, program berkenaan hanya dibenarkan berlangsung sehingga 12 tengah malam tadi dan pihak polis diminta ke lokasi berkenaan apabila orang ramai yang hadir gagal bersurai selepas acara itu selesai.

“Sebaik kehadiran pihak polis di lokasi, barulah diberikan kerjasama dan bersurai. Tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami juga ada mengeluarkan kompaun (RM20,000) kepada pihak penganjur program berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Meriah macam tak ada SOP PKP sampai polis terpaksa menyuraikan 
orang ramai selepas tamat acara malam tadi./ Gambar media sosial

Sementara itu, penganjur program, MUSC Motorsports mengakui pihaknya gagal melaksanakan acara berkenaan mengikut ketetapan norma baharu.

“Matlamat kami mengadakan acara sukan rakyat paling diminati ini walaupun berdepan risiko besar pematuhan penganjuran acara dengan norma baharu ialah untuk membantu merancakkan kembali sektor automotif kita yang mana sudah cukup terkesan sejak bermulanya Covid-19.

“Kegagalan kami mengawal penjarakan fizikal menyebabkan beberapa kali acara terhenti sehingga akhirnya kami terpaksa akur dikenakan kompaun.

Baca artikel berkaitan: Berita baik peminat sukan, penonton dibenar ke stadium

“Justeru, kami meminta maaf kepada semua pihak yang terbabit dan tanpa menyalahkan mana-mana pihak sama ada agensi penguat kuasa, penyedia litar iaitu SIC, rakan-rakan program, pasukan ‘drag’, pengunjung dan semua pengikut Musc Drag Racing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu hantaran dan gambar yang menunjukkan orang ramai berkumpul di SIC di acara itu tular di media sosial.

Tiada ulasan: