ANALISIS
“Ini merupakan satu percaturan politik yang JAHAT dan JIJIK yang
hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan
UMNO. Saya percaya lebih banyak lagi permainan KEJI seperti ini akan
dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.
‘’Sebagai Presiden UMNO, saya tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa juga ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggui UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO. Saya telah mengarah pegawai saya untuk SEGERA membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini.’’
Itulah antara perenggan yang terdapat dalam kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pada 7 April lalu beberapa jam selepas tersebar rakaman perbualan yang mirip suara beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.
Kalau baca kenyataan itu, kita dapat merasakan ‘betapa marahnya’ Ahmad Zahid apabila ‘difitnah’ begitu, kita juga boleh membayangkan betapa ‘bersemangat’ Presiden UMNO tersebut untuk mencari siapa dalang ‘politik JAHAT, JIJIK dan KEJI’ itu dengan membuat laporan polis.
Tetapi hari ini sehingga pukul 12.30 tengah hari 10 April , tiada sebarang laporan polis dibuat oleh Ahmad Zahid mahupun pegawainya, biarpun dalam kenyataan itu tertera ayat ‘SEGERA” membuat laporan polis.
Kita tidak pasti apa kekangan yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sehingga beliau masih belum berbuat demikian. Mungkin beliau dan pegawai-pegawai terlalu sibuk menguruskan parti, maklumlah Ahmad Zahid dikatakan ‘diserang’ dari luar dan dalam.
Tetapi Ahmad Zahid ada pula masanya untuk membuat coretan dalam media sosial yang dilihat ada kaitan dengan kes rakaman audio itu. Rasanya catatan tersebut mungkin lebih panjang berbanding kalau beliau membuat laporan polis.
Dalam catatan pada 8 April, Ahmad Zahid mencatatkan, ‘’Ahli UMNO sangat memahami. Dunia digital hari ini semuanya boleh dibuat-buat. Video, foto dan panggilan suara boleh direka kerana sudah ada aplikasi. Apa yang saya minta adalah tangkis tohmahan dengan fakta yang tepat dan bukannya menabur fitnah. Kepimpinan UMNO tidak seperti mereka.’’
Agak aneh, Ahmad Zahid sentiasa meletakkan diri beliau sebagai mangsa fitnah termasuk juga dalam isu rakaman audio itu tetapi malangnya tiada laporan polis dibuat bagi membersihkan namanya. Sebaliknya orang lain pula yang membuat laporan.
Mereka berbuat demikian kerana mahu membersihkan nama Ahmad Zahid dan UMNO serta mengelakkan spekulasi. Ia samalah seperti mana nasihat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Ahmad Zahid membuat laporan polis bagi mengelakkan kesangsian.
Soalnya, kenapa Ahmad Zahid macam ragu-ragu sangat nak buat laporan polis? Atau kenapa ambil masa terlalu untuk berfikir mahu membuat laporan? Buatlah sahaja laporan dan serah kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Inshaallah,kita yakin polis akan menjalankan tugas mereka secara profesional dan mereka akan memberi perhatian utama memandangkan ‘yang difitnah’ itu ada calon-calon Perdana Menteri, kalau Barisan Nasional atau Pakatan Harapan menang PRU-15.
Jadi kena siasat, ‘dalang’ yang buat kerja tu perlu ditangkap kerana memfitnah dua pemimpin hebat yang sudah lama berkawan dan berjuang dalam politik daripada ketika bersama dalam UMNO hinggalah masing-masing membawa haluan sendiri.
Sebab itulah kalau membaca komen-komen dalam Facebook Ahmad Zahid hampir 90 peratus netizen mahukan Presiden UMNO itu membuat laporan polis. Namun malangnya setakat ini gesaan itu tidak sambut.
Sebaliknya hari ini dalam Facebook beliau Ahmad Zahid memperkatakan soal Ramadan dan meminta umat Islam tidak memutuskan silaturahim manakala melalui akaun telegramnya beliau bercakap soal harga durian.
Alhamdulillah, Ahmad Zahid komited mahu menjaga silaturahim sesama Islam, tetapi rakaman audio itu juga boleh memecah belah sesama Islam jika tiada laporan polis dibuat kerana apa? Kerana ia mewujudkan perbalahan antara penyokong dalam UMNO.
Yang menyokong akan mempertahankannya dengan mengatakan ia fitnah manakala yang menentang akan mengatakan ia tulen. Kesudahannya mereka yang sudah pastinya saudara sesama Islam akan berbalah dan menjejaskan silaturahim, kalau terserempak kat gerai durian, mungkin kulit durian tu berterbangan.
Jadi molek sangat sempena Ramadan dan supaya kedua-dua pihak boleh berpuasa dengan tenang tanpa ada apa-apa perasaan, Ahmad Zahid buatlah laporan polis dan serah kepada pasukan itu menentukan kebenarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan