Ahad, 4 April 2021

Majikan perlu saring rekod pemandu sebelum benarkan memandu

KUALA LUMPUR: Pihak majikan digesa menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk meneliti rekod pemandu bas ekspres sebelum membenarkan mereka memulakan perjalanan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata majikan perlu memainkan fungsi penting dengan menyaring kelayakan pemandu bas terlebih dahulu dengan menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh mendatangkan risiko kemalangan membabitkan penumpang seperti insiden di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), hari ini.

"Jika pemandu ada rekod buruk, majikan perlu memberikan amaran tegas atau menggantikannya dengan orang lain supaya kes sama tidak berulang.

"Ini kerana aspek keselamatan adalah penting. Jika mereka berisiko terhadap nyawa penumpang, saya rasa mereka tidak layak untuk memikul tanggungjawab memandu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas nahas membabitkan bas ekspres yang mengakibatkan 14 individu termasuk pemandu cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik.

Kemalangan itu berlaku awal pagi tadi di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, selepas Terowong Menora, di sini.

Susulan itu, polis menahan pemandu bas ekspres selepas pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 19 rekod saman lampau individu bagi kesalahan trafik, selain tiga rekod saman lampau bagi bas yang dipandunya.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa juga harus meneliti semula aspek kejuruteraan pembinaan Terowong Menora yang sering dikaitkan dengan kemalangan.

"Aspek keselamatan harus dikaji semula untuk diperbaiki melalui sudut kejuruteraan bagi mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Tiada ulasan: