Ahad, 4 April 2021

Kerajaan mahu kompaun hingga RM15 juta, penjara mandatori

KOTA BHARU: Kerajaan sedang menyemak semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah kes pencemaran sumber air, dengan kompaun hingga RM15 juta dan penjara mandatori.

Pada masa sama, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menubuhkan Jawatankuasa Unit Jenayah Alam Sekitar dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kes pelupusan sisa buangan berjadual secara haram yang berleluasa sehingga menyumbang kepada masalah pencemaran air.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata usul pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dibawa ke Parlimen nanti.

Mengikut undang-undang sedia ada, beliau berkata, pihak yang disabitkan kesalahan berkenaan hanya dikenakan kompaun RM2,000 hingga RM15,000 dan hukuman itu dilihat sebagai tidak setimpal.

"Kita mahu menaikkannya hingga RM15 juta, selain hukuman penjara mandatori.

"Harus diingat apabila berlaku pencemaran sungai, misalnya, loji rawatan air terpaksa ditutup.

"Ia menyebabkan kementerian perlu menyediakan lori untuk menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas sepanjang tempoh sistem berkenaan ditutup.

"Kita tidak caj apa-apa sedangkan kita perlu menanggung kos tinggi. Justeru, kita mahu mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air itu menanggung kos kerugian berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Cabutan Undi Perdana Bagi Kerja-Kerja Bawah Peruntukan KASA bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan ejen haram pelupusan sisa buangan berjadual seperti bahan pelarut dan sisa kimia, dikesan menjadi dalang pencemaran sumber air di Lembah Klang.

Mereka juga dikesan mengubah modus operandi yang mana jika sebelum ini, sisa dibuang terus di tempat terbuka seperti tepi sungai, kepada cara lebih tertutup dan sukar dikesan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, mana-mana individu melakukan pelupusan sisa buangan berjadual tanpa memiliki lesen atau pengilang yang menyerahkan sisa berkenaan kepada ejen haram terbabit, akan dikenakan tindakan tegas.

"Tindakan ejen haram pelupusan sisa buangan berjadual itu menjadi kesalahan besar kerana menyumbang kepada pencemaran sumber air.

"Kementerian memang ada memberikan lesen kepada ejen dan mereka wajib menghantar sisa buangan berjadual ke tapak pelupusan kita.

"Namun apabila ejen dilantik itu membuang sisa buangan berkenaan ke lokasi tidak sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.

"Pada masa sama, saya juga menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang kilang yang menjadi dalang kepada pencemaran.

"Sebelum ini, kita sudahpun mengambil tindakan dengan menggantung operasi atau denda dan membawa kes ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata, KASA juga sedang memikirkan mekanisme untuk memantau industri kilang dalam usaha mengelakkan masalah pencemaran.

"Katakan di Malaysia ada ribuan kilang dan kita terpaksa memantau semua kilang berkenaan, maka sudah tentu berdepan kekangan tenaga.

"Justeru, kita perlu memikirkan pendekatan tertentu bagi memastikan semua kilang berkenaan melalui sistem pembetungan berpusat, sekali gus lebih mudah untuk dipantau," katanya.

Tiada ulasan: