Sabtu, 24 April 2021

Majikan Cina pukul pekerja kerana berpuasa dituduh lagi

AGENDA DAILY

Majikan Cina yang memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa membuat pengakuan tidak bersalah. 

Majikan Cina yang memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya menggunakan pistol dan rotan kerana berpuasa sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Chung Chee Yang, 43, didakwa atas empat pertuduhan mencederakan kedua-dua bekas pekerjanya itu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja empat pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhamad Fared Abdul Latif.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Chee Yang didakwa dengan sengaja mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44, di lif serta lobi One KL Kondominium antara jam 8.40 hingga 8.43 malam 13 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar, menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana kes mendapat perhatian umum, baru-baru ini, dan menyentuh sensitiviti agama serta masyarakat secara keseluruhan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 2 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Semalam, lelaki itu tidak mengaku salah atas lima pertuduhan jenayah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang.

Tiada ulasan: