Sabtu, 3 April 2021

Lelaki rugi RM1.2 juta angkara ‘pelaburan’ dalam sektor pelancongan, hartanah

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa dijanjikan 
pulangan dividen dan milikan saham sebuah syarikat sebanyak 23.3% 
berserta modal perniagaan. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengalami kerugian RM1.2 juta gara-gara ditipu rakan kongsi perniagaannya yang memperdayakan mangsa untuk membuat pelaburan dalam sektor pelancongan dan hartanah di dalam dan luar negara.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa berusia 52 itu dikatakan menyerahkan wang berkenaan kepada rakan perniagaannya berumur lingkungan 30-an yang dikenalinya di Kuala Lumpur pada 2019, melalui beberapa transaksi sejak 2019 sehingga 2020.

“Mangsa dijanjikan pulangan dividen dan milikan saham sebuah syarikat sebanyak 23.3% berserta modal perniagaan.

“Dia juga dijanjikan akan mendapat keuntungan semula daripada modal yang dilaburkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Namun, mangsa mula menyedari ditipu apabila individu terbabit menghilangkan diri sebelum membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya, di sini, pada Khamis (1 April).

Menurut Ayob Khan, setakat ini hanya mangsa diperdaya oleh individu berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, terutamanya yang melibatkan transaksi kewangan.

Tiada ulasan: