Isnin, 5 April 2021

Lelaki curi beras dan susu ditahan positif dadah, beri alasan tanggung hidup susah

Oleh MASTURA SURADI
HUSSIN ZAMORA

KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri sekampit beras dan susu selepas 11 jam dia melakukan jenayah terbabit, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hussin Zamora berkata, lelaki Indonesia bertaraf penduduk tetap berusia 38 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Kuso, pada pukul 7.30 malam.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek didapati positif dadah heroin dan mempunyai enam rekod jenayah melibatkan tiga rekod kes dadah dan tiga rekod jenayah.

“Suspek adalah lelaki Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap selepas berkahwin dengan wanita tempatan. Tangkapan dibuat di rumah suspek selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam.

“Susulan itu polis merampas sekampit beras 10 kilogram dan sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang didaftarkan atas nama isteri suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hussin berkata, suspek yang mempunyai anak lelaki berusia enam bulan hingga 10 tahun memberikan alasan mencuri untuk menanggung hidup ahli keluarganya.

“Isteri suspek hanya bekerja secara harian sebagai pembantu kantin kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sekolah tidak dapat dibuka, maka isterinya tidak dapat keluar mencari pendapatan harian.

“Si isteri pula tidak tahu yang suaminya keluar mencuri. Bagaimanapun apa dilakukan suspek tidak menghalalkan cara,” katanya.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut selama tiga hari hingga 6 April ini untuk siasatan lanjut.

Beliau turut menegaskan, polis tidak mahu kejadian yang berlaku itu menjadi satu bentuk trend dalam masyarakat melakukan jenayah atas alasan kesempitan hidup atau desakan hidup keluarga yang sangat tidak sihat.

“Kalau pun hidup dalam kesempitan disebabkan oleh pandemik Covid-19 tetapi masih ada lagi ruang untuk kita memohon bantuan bagi meringankan beban kesempitan hidup dari mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau ahli politik yang ingin membantu atau dari mana-mana agensi yang berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular dalam laman Facebook kejadian curi yang berlaku di kedai makan di Jalan Indah di sini awal pagi semalam yang memaparkan rakaman seorang lelaki dipercayai suspek menaiki motosikal.

Siasatan awal polis mendapati suspek mencuri sekampit beras 10 kilogram dan sekotak susu. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: