Ahad, 4 April 2021

Lebih 80 peratus ingkar SOP PKP semalam sebab pusat hiburan

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob/ Gambar media sosial

SEBANYAK 205 daripada 248 kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diambil tindakan semalam adalah bersabit aktiviti pusat hiburan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 248 kesalahan itu, 228 dikompaun manakala 17 lagi dijamin dan tiga direman.

Katanya, selain aktiviti pusat hiburan, 17 kesalahan melibatkan penjarakan fizikal, gagal merekodkan butiran diri di aplikasi MySejahtera (11), rentas negeri tanpa kebenaran (lapan), tidak memakai pelitup muka (empat) dan lain-lain (tiga).

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 63,866 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 3,276 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,249 anggota telah membuat pemantauan di 4,572 pasaraya, restoran (5,636), kilang (2,043), bank (3,724), pejabat kerajaan (756) dan penjaja (2,894).

“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,680), tempat ibadah (3,162), tempat riadah (1,770), terminal pengangkutan darat (1,371), terminal pengangkutan air (347) dan terminal pengangkutan udara (117),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semntara itu, katanya, kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Keningau, Sabah disambung 14 hari lagi, bermula esok.

Beliau berkata, secara kumulatif setakat ini, sebanyak 2,138 kes COVID-19 direkodkan di daerah itu dengan beberapa kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan wujud beberapa kluster baharu dan masih berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti dengan jumlah kes aktif bagi tempoh 14 hari, sebanyak 148 kes.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKP di daerah berkenaan bermula 5 hingga 18 April ini,” katanya.

Tiada ulasan: