Khamis, 22 April 2021

Kolej vokasional tutup serta-merta, 37 pelajar positif

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
RAHMAD Mariman

MELAKA: Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd. Zain (KVDSMZ) Alor Gajah dekat sini ditutup serta-merta selama dua minggu bermula hari ini selepas 37 pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pada 16 April lalu pihak Jabatan Kesihatan negeri telah menerima notifikasi berhubung hasil saringan dilakukan seorang pelajar kolej tersebut yang bergejala dan didapati positif.

Beliau berkata, virus itu tular selepas pelajar tersebut yang dari kawasan zon merah pulang ke pusat pengajian terbabit.

“Berikutan itu, saringan segera ke atas 196 orang kontak rapat kepada kes positif tersebut yang melibatkan rakan kolej dan guru telah dijalankan.

“Sehingga hari ini, hasil saringan mengesahkan terdapat 37 pelajar kolej positif Covid-19. Semua pelajar yang positif telah diasingkan dan dirujuk untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kesemua kontak rapat yang disaring telah diberikan arahan kuarantin dan dipakaikan gelang kuarantin.

“Susulan terdapat pertambahan kes hari ini, penilaian seterusnya telah mengenal pasti seramai 430 kontak rapat kepada kes-kes positif yang lain dan saringan Covid-19 akan dijalankan dalam masa terdekat oleh pihak kesihatan.

“Penutupan sementara KVDSMZ bermula hari ini sehingga 4 Mei depan. Pemantauan berterusan bagi kontak rapat kes-kes positif di blok terlibat akan diteruskan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, proses disinfeksi premis telah dijalankan dengan kerjasama pasukan bomba dan semua pihak sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengekang penularan virus tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: