Sabtu, 3 April 2021

Kes tipu pembelian online terus meningkat

ROSOL Wahid (tiga dari kanan) diberikan penerangan mengenai pembuatan sate ketika lawatan kerjanya ke kilang pembuatan makanan IKS di Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merekodkan peningkatan aduan berhubung penipuan transaksi dalam talian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pada tahun lalu, sebanyak 11,510 atau 33.2 peratus aduan berkenaan perkara itu dicatatkan, mengatasi harga barangan dengan 9,589 aduan.

Beliau berkata, angka terbabit terus meningkat dan membimbangkan, yang mana sehingga 29 Mac lalu sebanyak 38.8 peratus daripada keseluruhan 6,466 aduan diterima adalah penipuan dalam talian.

“Aduan yang kita terima banyak berkaitan jual beli dalam talian dan kini aduan berhubung harga sudah menjadi nombor dua.

“Perubahan ini berlaku mungkin disebabkan pelaksanaan PKP yang menyebabkan rakyat melakukan urusan pembelian secara dalam talian. Sebagai contoh, apa yang dibeli tidak sama dengan ditunjukkan dalam gambar oleh penjual,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke kilang pembuatan makanan industri kecil dan sederhana (IKS) di sini hari ini.

Beliau mengingatkan pengguna yang membeli barangan secara dalam talian untuk sentiasa menyimpan resit pembelian bagi membolehkan tindakan diambil sekiranya berlaku penipuan.

“Kes penipuan dalam talian ini boleh diadukan kepada pihak kementerian untuk tindakan lanjut tetapi pengguna mestilah mengemukakan bukti pembelian. Kita mempunyai Akta Kawalan Harga, Pencatutan, Akta Perihal Dagangan dan sebagainya.

“Di peringkat kami, kes hanya akan menjadi rumit sekiranya ia melibatkan pembelian dengan pihak luar negara, itu sukar untuk kita ambil tindakan,” jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap pengguna yang aktif melakukan pembelian secara digital bijak memilih vendor atau penjual dan tidak mudah tertipu dengan tawaran harga terlalu murah.

Tiada ulasan: