KUALA LUMPUR: Hutan paya bakau di pesisir pantai negara banyak berbeza berbanding 30 tahun lalu kesan pelbagai aktiviti, termasuk perbuatan manusia.
Pensyarah di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muzzneena Ahmad Mustapha, berkata sekitar 1970, paya bakau dikesan berada jauh ke dalam laut, tetapi hari ini ia sekadar berselerakan di pinggir laut.
"Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi hutan ini, antaranya alam semula jadi seperti hakisan arus air dan angin serta hakisan pantai.
"Selain itu, aktiviti manusia juga memberi kesan seperti penebangan bakau dan kejadian tumpahan minyak seperti berlaku di Tanjung Tuan, Melaka," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Dr Muzzneena berkata, untuk menyatakan hutan paya bakau berkurangan di dalam negara ini adalah tidak tepat, namun berlaku perubahan tertentu di sesetengah tempat yang biasa menjadi lokasi hutan berkenaan.
"Ada tempat yang berkurangan dan ada tempat bertambah. Bagi kawasan yang bertambah, biasanya satu tindakan proaktif dilaksanakan kerajaan tempatan seperti program menanam semula pokok," katanya.
Beliau berkata, fungsi hutan paya bakau di pesisir pantai penting, khususnya dalam menahan arus ombak yang besar.
"Ia akan mengurangkan kesan impak arus itu ke pantai, malah ia juga akan mengurangkan hakisan sekiranya berlaku arus yang kuat," katanya yang turut merujuk kemampuan dalam mengurangkan impak tsunami," katanya.
Dr Muzzneena berkata, pengurusan hutan paya bakau sukar dilakukan
pada peringkat on the ground, namun teknologi canggih seperti remote sensing atau penderiaan jauh yang ada pada hari ini amat membantu dalam proses perlindungan hutan itu.
"Ia berupaya membantu memantau struktur dinamik hutan paya bakau dan maklumat yang dinyatakan menerusi teknologi ini juga adalah tepat, sekali gus memberikan kelebihan kepada semua pihak dalam melindungi ekosistem hutan paya bakau," katanya.
BH sebelum ini melaporkan hutan pesisir pantai Tanjung Tuan, yang menjadi penampan penting hakisan pantai di Melaka kini berada dalam situasi nazak dan dijangka bakal lenyap selepas sisa tumpahan minyak kapal dari Selat Melaka dikesan begitu banyak 'mendarat' dan amat sukar dibersihkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan