Ahad, 4 April 2021

Bekas Imam Masjid Negara buka kedai berkonsep ‘beli sambil infak’

kedai ustaz
Ahmad Rosli di hadapan Ust Rosli Halal Mart di Pandan Utama, Ampang. - Gambar BH Online/NSTP

BERNIAGA juga satu ibadat. Memegang konsep tersebut mungkin menjadi antara penyebab kepada seorang bekas imam untuk memulakan perniagaan.

Selain itu, bekas Imam Masjid Negara, Ahmad Rosli Ahmad Mokhtar, juga membuka sebuah kedai runcit dengan konsep ‘membeli sambil berinfak’ dengan matlamat untuk membantu lebih ramai asnaf yang memerlukan.

Melalui kedai runcit dinamakan Ust Rosli Halal Mart itu, Ahmad Rosli, 64, membuka peluang kepada pelanggan untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

“Saya terfikir untuk membuka kedai runcit ini pada Mac tahun lalu kerana ramai yang berdepan ujian ketika itu, termasuk hilang sumber pendapatan sehingga tidak mampu membeli barangan makanan, berikutan negara dilanda pandemik COVID-19.

“Justeru, saya dan beberapa sahabat berusaha menggerakkan sumbangan makanan dengan ada yang menggunakan wang sendiri serta hasil derma orang ramai.

“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, 259 keluarga termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan hilang pendapatan, berjaya dibantu.

“Jumlah itu terus meningkat dengan sumbangan diberi kepada 508 lagi keluarga memerlukan ketika PKP kedua,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Ust Rosli Halal Mart di Pandan Utama, Ampang, Kuala Lumpur hari ini seperti yang dilaporkan BH Online.

Menceritakan lanjut, Ahmad Rosli berkata, tekadnya untuk meneruskan kerja kebajikan itu menjadi titik tolak kepada pembukaan kedai runcit berkenaan.

“Melalui perniagaan ini, lebih mudah untuk saya membeli barangan secara pukal pada harga lebih murah, sekali gus dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan.

“Walaupun tidak pernah menceburi bidang perniagaan, saya perlu bertatih dan bertekad mempelajari bidang ini kerana ia adalah sumber saham akhirat kelak,” katanya.

Malah, beliau turut menyediakan ‘gerobok rezeki’ untuk pelanggan yang ingin menyumbang barangan makanan bagi diagihkan kepada golongan asnaf.

“Saya menyediakan ‘gerobok rezeki’ di luar kedai, justeru pelanggan boleh meletak barangan yang ingin disumbang ataupun menyalurkan sumbangan wang tunai.

“Melalui cara ini, penduduk sekitar yang sedang berada dalam kesusahan atau terputus bekalan makanan, boleh datang untuk mengambil keperluan mereka,” katanya.

Ahmad Rosli yang juga Pengurus Besar Bimbingan Haji dan Umrah di Rayhar Travels Sdn Bhd, berhasrat untuk membuka cawangan kedai itu di sekitar Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: