Isnin, 5 April 2021

Kenapa nama ‘alias’ PM jadi punca individu dibebas

 Sean Augustin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menandatangani plak acara di Bukit 
Pasir, Muar, bulan lalu. Ketika menjadi menteri dalam negeri, Muhyiddin 
menandatangani perintah tahanan pencegahan menggunakan nama 
aliasnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ramai tidak bersetuju dengan keputusan membebaskan seorang lelaki yang berdepan dengan perintah tahanan pencegahan dua tahun kerana perdana menteri menandatangani perintah itu menggunakan nama aliasnya.

Peguam bagaimanapun, bersetuju dengan pembebasan itu dengan berkata pematuhan ketat undang-undang perlu dalam kes yang mempengaruhi kebebasan individu.

Lelaki Sabah itu, yang didakwa terlibat dalam pengedaran dadah, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi kerana perdana menteri, yang ketika itu menteri dalam negeri, tidak menggunakan nama sebenarnya ketika mengeluarkan perintah tahanan pencegahan, tahun lalu.

Perintah itu ditandatangani di bawah nama Muhyiddin Yassin. Nama sebenar perdana menteri dalam kad pengenalannya adalah Mahiaddin Md Yasin.

Andrew Khoo

Peguam hak asasi manusia, Andrew Khoo berkata, “isu teknikal menjadi penting” apabila sesuatu kes melibatkan kebebasan seseorang.

Sekiranya syarat teknikal tidak dipatuhi sepenuhnya, maka perintah tahanan perlu dibatalkan, katanya kepada FMT.

“Undang-undang tidak memberi banyak ruang untuk semakan kehakiman, dan mahkamah hanya dibenarkan meneliti isu yang sangat teknikal,” katanya.

“Ini mungkin menjelaskan keputusan mahkamah dalam perkara ini.

“Dalam bidang lain membabitkan tahanan pencegahan, tahanan tanpa perbicaraan dan rampasan kebebasan bukan masalahnya, perbezaan pada nama mungkin tidak begitu penting.”

Khoo menggariskan dua perkara bagi menjelaskan kekurangan ruang untuk semakan kehakiman:

  • Dalam kes melibatkan sekatan kebebasan, seperti yang menyentuh keselamatan negara, mahkamah cenderung untuk menangguhkannya kepada (untuk tindakan) kerajaan. Undang-undang itu sendiri boleh mengecualikan semakan kehakiman. Maka, mahkamah dibenarkan hanya menyemak kepatuhan teknikal.
  • Lembaga yang memutuskan tahanan pencegahan, seperti Lembaga Poca (Akta Pencegahan Jenayah) dan Lembaga Pota (Akta Pencegahan Keganasan), mempunyai prosedur mereka sendiri, sehingga sukar untuk mencabar perintah tahanan berikutan tiada prosedur sesuai. Sekali lagi, mahkamah dibenarkan hanya (untuk menyentuh) isu ketidakpatuhan teknikal.

Seorang lagi peguam, Bastian Pius Vendargon, berkata, isu kebebasan individu adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan yang memerlukan kepatuhan wajib supaya kebebasan yang dijamin tidak dirampas, maka ia adalah undang-undang yang baik,” katanya.

Katanya, bagaimanapun ini tidak bermaksud nasib yang sama akan menyebelahi dokumen lain yang ditandatangani oleh Muhyiddin, bukannya Mahiaddin.

Peguam jenayah Salim Bashir berkata, isu ketidakpatuhan prosedur akan dianggap sebagai “penyalahgunaan proses” apabila membabitkan tahanan pencegahan.

Ketika ditanya apakah ini bermakna wujud bahaya apabila seseorang yang mengancam masyarakat dilepaskan kerana isu teknikal, beliau berkata, keadaan itu akan menjadi “keadaan yang malang”.

“Tetapi dalam kes jenayah, terutama yang berkaitan dengan undang-undang tahanan, kepatuhan ketat terhadap aspek prosedur sangat penting untuk memastikan keadilan.”

Seorang peguam lain, Rajesh Nagarajan, berkata mahkamah di negara ini “sangat melindungi” kebebasan individu.

“Sebarang isu teknikal atau kekurangan, tidak kira seberapa kecil, akan menyebabkan perintah tahanan diketepikan,” katanya.

Tetapi di luar kes sedemikian katanya, tiada syarat di bawah Akta Fungsi Menteri atau Warta Kerajaan Persekutuan bahawa dokumen mesti ditandatangani oleh “Mahiaddin”, bukan “Muhyiddin”.

Tiada ulasan: