Isnin, 5 April 2021

Kedah, P Pinang perlu wujud dana lindungi hutan Ulu Muda, kata kumpulan NGO


Kumpulan NGO berkata, Hutan Simpan Ulu Mudah di Kedah terus terancam 
berikutan kegiatan pembukaan hutan, pembalakan dan perlombongan dan 
perlu diteliti secara serius. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa kerajaan Kedah dan Pulau Pinang untuk berhenti bertelingkah mengenai isu air yang ketika ini dan sebaliknya mewujudkan dana untuk memelihara hutan tadahan untuk kebaikan kedua-dua negeri itu.

Sahabat Ulu Muda, iaitu gabungan 13 kumpulan pemuliharaan hutan simpan Ulu Muda di Kedah, menggesa perkara itu dilakukan dalam satu surat terbuka kepada menteri besar dan ketua menteri kedua-dua negeri terbabit.

Surat itu, yang ditulis oleh sekretariatnya Meenakshi Raman, menyebut, hutan berkenaan terus terancam berikutan kegiatan pembukaan hutan, pembalakan dan perlombongan dan perlu diteliti secara serius.

“Walaupun Pulau Pinang memperolehi hak yang sah untuk mengekstrak air mentah dari bahagian Sungai Muda, langkah itu akan membawa kebaikan dalam jangka panjang kepada Pulau Pinang untuk membantu Kedah melindungi hutan ini.

“Hutan ini menyediakan ekosistem yang memerangkap air hujan, menapis dan mengawal pelepasannya ke sungai dan anak sungai dan akhirnya mengalir ke Sungai Muda.

“Adalah lebih bermanfaat sekiranya jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk mengalih dan membina fasiliti simpanan air diperuntukkan untuk melindungi dan mengekalkan hutan itu yang menyediakan ekosistem seperti yang dinyatakan di atas,” tulis surat itu.

Meenakashi berkata, Sanusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hendaklah melantik orang tengah bebas antara dua negeri itu dan berunding dengan pakar berkait “sistem bayaran bagi khidmat ekosistem atau PES” melibatkan kawasan tadahan air Sungai Muda.

Katanya, persetjuan bersama mengenai PES akan menyaksikan penerima manfaat utama daripada sungai berkenaan mengeluarkan dana untuk melindunginya.

“Aktiviti perlindungan harus meliputi langkah mewartakan seluruh kawasan itu sebagai taman negeri atau negara; kawalan dan penguatkuasaan terhadap pencerobohan dan pemburuan binatang liar, pemantauan liputan hutan serta pendidikan dan aktiviti kesedaran,” katanya.

Sejak tahun lepas, Kedah mahu Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun bagi air yang diambil oleh negeri itu daripada Sungai Muda di Kepala Batas sebagai “pampasan”.

Ia ditolak bulat-bulan oleh kerajaan Pulau Pinang yang berkata, ia berhak untuk mengekstrak air dari sebatang sungai yang mengalir ke dalam negeri itu
.
Sanusi mencadangkan pembinaan kolam simpanan air di sepanjang Sungai Muda yang mungki akan memperlahankan aliran sungai tersebut ke Pulau Pinang.

Sungai itu berpunca dari hutan Ulu Muda, Kedah di bahagian ulunya hingga ke Pulau Pinang di bahagian Barat.

Tiada ulasan: