IMPIAN 60 penduduk di kawasan Parlimen Padang Terap mendiami rumah kediaman yang lebih selesa menjadi kenyataan apabila menerima kunci rumah baharu mereka yang telah siap, hari ini.
Tambah manis, kunci rumah itu diterima menjelang ketibaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua penerima merupakan antara penduduk yang terpilih menerima bantuan perumahan di bawah inisiatif Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Menurutnya, projek bantuan perumahan itu dibina dengan kos RM9.5 juta.
“Bantuan perumahan ini saya fikir amat bermakna buat penduduk khususnya golongan kurang mampu untuk memiliki rumah kediaman yang selesa.
“Kerajaan memang sentiasa mencari jalan dan berusaha untuk melihat rakyat hidup dalam suasana yang selesa dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika kunci rumah kepada 60 penduduk perumahan Taman Desa Pudina, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kubang Kenyeng, Padang Terap, hari ini.
Yang turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang juga Pengerusi KEDA, ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin ADUN Kuala Nerang, Munir Mohamad Yusof Zakaria, Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman dan Pengurus Besar KEDA, Kamaruddin Abd. Akib.
Mahdzir memberitahu, projek perumahan itu dilaksanakan bermula pada tahun 2017 dan kini sedia untuk didiami oleh penduduk yang terpilih.
“Syukur projek bantuan perumahan ini berjaya disiapkan tepat pada masanya lebih-lebih lagi menjelang kita nak menyambut bulan Ramadan dan juga Aidilfitri tidak lama lagi.
“Ini sekali gus membolehkan mereka yang menerima sumbangan rumah ini mendudukinya sebelum menjelang tiba Ramadan dan Aidilfitri,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan